berita

Adik Manja Returns VS Adik Manja

December 14th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Sebut sahaja filem Adik Manja, pastinya akan menggamit memori silam bagi sesetengah peminat filem ini pada era 80-an. Filem ini pernah menjadi buah mulut orang ramai tentang penceritaannya yang lain dari yang lain sehinggakan mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya memperoleh jumlah kutipan melebihi RM3.5 juta.

Bukan itu sahaja, filem tersebut ternyata membawa impak kepada heronya, Dharma, sehingga terdetik dihatinya untuk menerbitkan Adik Manja Returns (29 tahun kemudian).

Menurutnya, melihat kepada sambutan peminat terhadap beberapa filem tempatan kebelakangan ini, agak sukar untuk dia meletakkan sasaran tinggi.

“Saya tidak meletak sasaran yang begitu tinggi kerana saya sedar terhadap sambutan peminat terhadap filem tempatan sekarang. Saya juga amat takut kalau tidak dapat sambutan. Mudah-mudahan ‘Adik Manja Returns’ dapat pulang modal pun sudah memadai. Saya telah membelanjakan sejumlah RM1.6 juta untuk untuk filem ‘Adik Manja Returns’ ini,” katanya ketika sesi pra-tonton filem ‘Adik Manja Returns’ di TGV Wangsa Walk Mall Jumaat lalu.

Kelainan yang dibawa dalam ‘Adik Manja Return’ ialah berlatarkan kenakalan dua kumpulan pelajar perempuan di sebuah pusat pengajian tinggi yang sering mendatangkan masalah kepada pengetuanya, Sofia.

Sementara itu, Dharma turut ditanya mengapa filem ini mengambil masa terlalu lama untuk ditayangkan memandangkan sesi penggambaran telah tamat pada tahun 2009 lagi. Menurutnya, mereka terpaksa menangguhkan sementara pembikinan filem ini kerana menunggu kelulusan pinjaman daripada pihak bank.

” Sesi pengambaran filem ini sebenarnya telah tamat pada 2009 lagi tetapi kami terpaksa menangguhkan kerja-kerja pembikinan filem ini buat sementara kerana menunggu kelulusan pihak bank. Sebenarnya saya telah membelanjakan wang sendiri iaitu kira-kira RM900 ribu. Saya terpaksa menunggu lama sehingga tujuh ke lapan bulan untuk dapat pinjaman berjumlah RM870 ribu,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, dia yakin dengan kekuatan nama Adik Manja itu sendiri mempunyai aura untuk penonton terpanggil menyaksikan kesinambungan cerita ini setelah 29 tahun tetapi dalam versi yang lebih moden.

Pelakon asal dalam filem Adik Manja, iaitu Noor Kumalasari turut hadir pada malam itu bagi memberi sokongan terhadap filem ‘Adik Manja Returns’ ini.

Menurutnya, dari segi keseluruhannya filem ini memberi pengajaran kepada penonton dengan nilai-nilai positif yang di terapkan tetapi dari segi kesinambungan filem ini dengan filem yang asal, mesejnya tidak jelas dan tidak seperti filem dahulu.

Walau bagaimana pun, dia tetap kurang senang dengan perjalanan cerita kerana skrip yang sangat longgar serta lari dari fokus utama dalam filem ‘Adik Manja Returns’ ini.

“Saya dapat rasakan skrip filem ini agak longgar kerana saya tidak nampak apa fokus utama filem ini. Saya tidak  nampak apa yang mereka hendak sampaikan. Adakah tentang kenakalan remaja-remaja ini atau gejala sosial yang dihadapi oleh kebanyakan remaja sekarang? Kalau mereka hendak cerita tentang kegilaan remaja dalam bidang tarian pun, rasanya macam tidak sampai,” ujar Noor Kumalasari tentang filem ini.

Apa-apa pun, bagi peminat filem melayu terutamanya yang pernah menonton filem Anak Manja pada tahun 80-an pastinya mahu menonton filem ‘Adik Manja Returns’ bagi melihat sendiri kelebihan yang terdapat dalam filem ini. Filem ini bakal berada di pawagam pada 20 Disember nanti.

Antara barisan pelakon yang akan membintangi versi baru ‘Adik Manja Returns’ ialah Rozita Che Wan, Jihan Raja Lawak, Juliana Evans, Fida Ibrahim, Faezah Elai, Adeline Tsen dan Dharma sendiri. Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini.

SKIP THIS AD ×