berita

Ana Raffali Nafikan Diri Sudah Mengandung

January 17th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Screen Shot 2013-01-17 at 1.07.12 AM

Setelah hampir setahun berkahwin, Ana Raffali yang semakin jarang muncul di media dikatakan telah pun mengandung. Sekeping foto dari laman Instagramnya juga telah menimbulkan pertanyaan pada peminat apabila Ana kini dilihat semakin berisi.

Bagi mendapatkan kepastian, OHBULAN! telah menghubungi pelantun lagu “Tolong Ingatkan Aku” ini semalam bagi mengesahkan samada benar atau tidak dia sudah mengandung.

“Rezeki belum ada lagi. Tolong doa-doakan supaya murah rezeki kami berdua. Berat badan saya memang bertambah setelah berkahwin, bahagia dan mungkin saya tidak ada tekanan untuk tampak kurus sepanjang masa,” jelas Ana yang bernikah dengan pengurusnya pada 25 Februari 2012 yang lepas.

Ana yang sekian lama menyepikan diri turut menafikan dakwaan bahawa dia jarang muncul di khalayak ramai kerana dikongkong suami.

“Tidak ada kena mengena dengan suami saya. Kontrak bersama label sebelum ni sudah tamat jadi saya mengambil keputusan untuk mempersiapkan diri untuk tampil dengan produk baru yang diterbitkan oleh label saya sendiri, About the Letter A Sdn Bhd.

“Banyak perkara yang perlu saya belajar demi memperbaiki kelemahan diri dari segi vokal dan juga penulisan lagu. Jadi, saya mengambil masa untuk berlatih disamping menulis dengan banyak. Pada masa yang sama, syukur Alhamdulillah saya juga banyak menerima undangan persembahan untuk majlis tertutup serta acara bersama masyarakat umum di luar Kuala Lumpur.”

Ana Raffali kini dalam proses menyiapkan lagu terbarunya yang berjudul ‘Jauh Ke Syurga’. Lagu ini bakal memberikan kelainan pada pendengar kerana ia merupakan lagu kasih sayang dalam bentuk doa.

“Saya harap rakan-rakan serta penyokong muzik saya akan terus memberikan galakan untuk saya tetap menghasilkan lagu-lagu yang dapat menyentuh hati dan memberikan sedikit atau mungkin banyak makna dalam hidup kita semua, insyaAllah.”

SKIP THIS AD ×