berita

Carefree Lancar Album Baru, Bersama Carefree

October 24th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Carefree Album Launching (Dream Music)-43

Siapa tidak kenal dengan kumpulan Carefree yang dahulunya pernah popular sekitar tahun 1970-an menerusi lagu mereka Rindu Bayangan dan Si Baju Hijau.

Nampaknya setelah lama menyepikan diri daripada bidang nyanyian, kumpulan Carefree kini muncul semula degan album terbaru mereka, Bersama Carefree yang baru sahaja dilancarkan petang semalam, bertempat di Wisma Bently Music, Mutiara Damansara.

Majlis yang cukup meriah itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat yang didatangkan khas dari Kuantan, Pahang, Y.B Dato’ Noraini Haji Mohd Hashim dan pengarah syarikat rakaman Dream Music, Datuk Hj Mohd Fauzi Zakaria.

Sepanjang majlis berlangsung, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan penuh bertenaga Carefree dan diiringi dengan alunan saksofon yang sungguh merdu.

Carefree Album Launching (Dream Music)-25

Majlis persamian oleh Dato’ Noraini & Datuk Hj Mohd Fauzi

Mengulas lebih lanjut mengenai album terbaru kumpulan Carefree, selaku pemain bass utama dan vokal kumpulan tersebut, Hadi akui banyak mendengar serta mengikuti aliran muzik masa kini, agar pemilihan muzik yang disampaikan oleh mereka, mampu memenuhi citarasa pendengar.

Kami sentiasa mengikuti aliran muzik terkini dan cuba tampilkan pembaharuan dalam album terbaru. Lagipun kami memang selalu duduk berbincang dan ambil juga input-input daripada ahli kumpulan yang lebih muda.

Kalau nak tahu, album ini sangat bermakna buat Carefree sebab 100% hasilnya daripada ahli kumpulan kami sendiri. Daripada susunan muzik dan pemilihan lagu semuanya kami lakukan sendiri.

Carefree Album Launching (Dream Music)-42 Persembahan penuh bertenaga daripada Carefree

Dalam pada itu, difahamkan terdapat sebuah lagu yang dihasilkan oleh mereka iaitu Find It In Your Heart, merupakan lagu yang dicipta khas untuk Jabatan Kebajikan Masyarakay dan ianya mengandungi bait-bait lirik yang bermakna buat jabatan tersebut.

Oleh itu, timbul persoalan di kalangan pihak media, mengapa Carefree memilih Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai ilham karya seni mereka dan bukannya jabatan lain?

Sebenarnya tak ramai yang tahu mengenai peranan serta sumbangan sebenar Jabatan Kebajikan Masyarakat terhadap orang awam. Justeru itu, kami rasa sangat bertanggungjawab untuk menyedarkan orang ramai mengenai kewujudan jabatan ini agar mereka dapat membuka mata dan peka dengan gejala-gejala sosial yang terdapat di sekeliling kita.

Jika peranan jabatan tersebut kita lahirkan menerusi video klip dan lagu, mungkin orang ramai akan mudah faham.

Lagipun sebelum ini kami juga pernah hasilkan lagu untuk pasukan tentera menerusi lagu Si Baju Hijau. 

Untuk makluman, Carefree kini dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Simon (gitar/vokal), Hadi Hassan (bass/vokal), Zack (kibod/vokal), Reeyan (dram/vokal) dan Hizey (kibod/vokal).

Almum Carefree telah mula berada di pasaran sejak semalam dan bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan album tersebut, boleh dapatkannya secara online menerusi laman web rasmi Dream Music di www.dreammusic.com.my, www.dreammedia.com.my atau www.brandmalaysia.com.my/dreammusic.php.

Di sini OHBULAN! selitkan juga beberapa foto menarik sekitar pelancaran album Carefree petang semalam.

 

SKIP THIS AD ×