berita

“Dream Chorus” Lebih Gemar Memilih Artis Baru

September 10th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Dream Chorus Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan seperti Ring Back Tones dan Voice SMS. Syarikat ini turut didaftarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menerusi temubual bersama pengarah urusannya, Datuk Mohd Fauzi Zakari sewaktu majlis rumah terbuka Dream Chorus baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa kini syarikatnya telah memiliki hampir 20 artis baru dibawah naungan syarikat rakamannya. Kesemuanya dipilih berdasarkan kekuatan vokal serta bakat yang dimiliki oleh mereka.

Menurut Datuk Mohd Fauzi lagi, syarikatnya lebih gemar memilih artis-artis baru kerana beliau ingin melatih mereka dari segi semua aspek. Di mana, kesemua artis tersebut akan dihantar memasuki kelas-kelas vokal dan mereka perlu belajar untuk menguasai kemahiran menyanyi dengan betul.

Selain artis baru, kini Syarikat Dream Chorus Sdn Bhd turut memilih kumpulan lagenda, Carefree sebagai artis naungan syarikat mereka. Kumpulan yang terkenal dengan lagu “Rindu Bayangan” dan “Belaian Jiwa” ini dikatakan bakal melancarkan album terbaru milik mereka pada 12 September 2012 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Apabila diajukan soalan, apakah perancangan untuk masa depan Dream Chorus untuk kesemua artis baru di bawah naungan mereka? Datuk Mohd Fauzi memaklumkan bahawa, syarikatnya akan menggunakan aplikasi digital untuk kesemua artis tersebut, di mana lagu-lagu mereka akan dijadikan sebagai nada dering telefon bimbit. Selain itu, pihak Dream Chorus turut akan bekerjasama dengan dua buah syarikat Telekomunikasi gergasi iaitu Celcom dan Maxis bagi merealisasikan aplikasi digital berkenaan.

Sebagai rujukan, pada tahun 2006, Dream Music Sdn Bhd telah ditubuhkan sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Dream Chorus Sdn Bhd. Antara artis yang pernah bernaung di bawah syarikat Dream Music Sdn Bhd adalah Elly Mazlin, Faradhiya, dan Shiela Abdul.

SKIP THIS AD ×