Pernah tengok filem aksi berjudul Limitless lakonan Bradley Cooper sekitar tahun 2011? Kalau anda masih ingat, Limitless telah digarap menjadi sebuah filem terbaik ditambah pula dengan lakonan Bradley Cooper sebagai teraju utamanya.
Limitless mengisahkan tentang seorang penulis bernama Eddie Morra yang mengalami ketandusan idea atau dalam bahasa lainnya, writer’s block sebelum dia mengambil dadah sebagai penawar.
Bukan sekadar dadah biasa, dadah jenis NZT-48 itu adalah sebuah penemuan dimana pengguna akan menjadi lebih aktif dan bijak. Dalam kes Eddie, dia mampu menyiapkan sebuah buku dengan 90 muka surat dalam masa singkat selepas menggunakan dadah itu.
Eddie kemudiannya memerlukan lebih bekalan dadah agar dia kekal produktif tetapi malangnya pembuat dadah berkenaan mati dibunuh. Namun begitu, Eddie sempat mencuri saki-baki NZT yang dijumpainya dan meneruskan penggunaan seperti biasa.
Oleh kerana otaknya kini lebih pandai menaksir maklumat, Eddie telah menceburi bidang pelaburan dan berjaya meraih keuntungan hingga US$2 juta.
Namun konflik bermula apabila terdapat pihak yang ingin merampas bekalan dadah Eddie hingga menyebabkan dirinya dan teman wanita berada dalam keadaan bahaya.
Terbaru, sebuah filem berjudul Lucy yang dibintangi Scarlett Johansson dikatakan sebagai sambungan kepada Limitless namun di dalam versi wanita.
Tetapi hakikatnya, kru penggambaran dan penerbitan yang terbabit dalam pembikinan Lucy ternyata berbeza dengan Limitless meskipun ramai mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua filem berkenaan mempunyai jalan cerita yang hampir sama.
Diarahkan oleh Luc Beeson dan diedarkan oleh Europacorp bersama Universal Pictures, Lucy menjalani penggambaran di beberapa lokasi termasuk Taipei, Paris dan Kota New York bermula dari September 2013.
Masih menggunakan elemen penggunaan dadah, Lucy mengisahkan tentang seorang wanita yang hidup di Taiwan dikelilingi mafia, kaki pukul, penagih dadah dan penyelewengan kuasa oleh polis.
Dadah yang diimplan di dalam perutnya adalah punca Lucy berubah menjadi seorang manusia dengan kuasa luar biasa. Secara tiba-tiba Lucy mempunyai kebolehan menyerap maklumat dalam skala yang besar dan berupaya mengalihkan objek hanya menggunakan minda.
Namun berbeza dengan filem-filem superhero yang lain, Lucy menggunakan logik akal dan hukum sains dalam menggerakkan keseluruhan plot dan bukan sekadar menonjolkan imaginasi atau fantasi semata-mata.
Apa yang pasti, pemilihan Scarlett Johansson sebagai pelakon utama dilihat sangat tepat kerana aktres yang baru sahaja membintangi Captain America : The Winter Soldier ini berjaya membuatkan semua mata tertumpu kepada aksi yang dilakukannya walaupun cuma menerusi trailer sahaja.
Buat semua pembaca OHBULAN!, apa kata anda lihat dulu trailer Lucy di bawah ini sementara menunggu tayangannya di Malaysia dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.
http://www.youtube.com/watch?v=VcLERVsu1O8