berita

‘Kita Tidak Sepatutnya Bimbang Dengan Pembongkaran Kewujudan Ustaz Jahat’

June 19th, 2018 | by Amat
Isu & Kontroversi

Sejak kebelakangan ini, drama bertemakan keagamaan mendapat sambutan hangat dari penonton dan peminat drama Melayu. Malah, drama keagamaan sebegini telah membuka mata masyarakat mengenai kejahilan disebalik topeng agama.

Bagaimanapun, ramai netizen kurang bersetuju dengan pemaparan imej seorang ustaz diburuk-burukkan melalui medium drama TV sekali gus dapat menjatuhkan martabat golongan ustaz dan penceramah. Ini pendapat Dr Ustaz Rozaimi Ramle terhadap isu ‘Drama ustaz jahat merendahkan golongan agamawan’.

Merendahkan golongan agamawan?

Drama Ustaz Jahat Merendahkan Golongan Agamawan?

Seakan ada pihak yang panas dan tidak setuju apabila ada watak orang jahat berlakon sebagai ustaz difilemkan atau ditayang di televisyen. Kata mereka bimbang ia menjatuhkan reputasi semua ustaz.

Saya pula mempunyai pandangan sebaliknya. Jika kita menyelak al-Quran, kita dapati Allah menyamakan orang yang mempunyai ilmu agama tetapi jahat diumpamakan sebagai anjing yang menjelirkan lidah. Allah juga mencela pendeta Yahudi yang menggunakan agama untuk mendapatkan habuan dunia.

Nabi Muhammad sallallah alaih wasallam menyatakan bahawa antara perkara yang paling baginda takuti ialah golongan munafik yang pandai berkata-kata. (HR Ahmad dengan sanad yang hasan). Sebahagian ulama mensyarahkan makna hadis ini dengan maksud golongan yang menjadikan agama sebagai profesion untuk mendapatkan habuan dunia.

Imam Al-Ghazzali menyatakan ulama jahat ini bahayanya lebih dahsyat daripada kejahatan syaitan. Ini kerana syaitan menggunakan ulama jahat ini untuk merentap agama dari jiwa manusia.

Mahu memberi peringatan

Ibn Al-Jauzi menulis kitab Talbis Iblis menyatakan ada golongan hadis yang menuntut ilmu hadis semata untuk mencari kebanggaan dengan menuntut hadis syaz dan gharib (ganjil).

Ulama hadis mencela golongan pemalsu hadis yang merekayasa hadis semata untuk mencari habuan dunia dan kedudukan di sisi pemerintah seperti Ghiyath bin Ibrahim.

Adakah mereka ini semua mahu menjatuhkan reputasi semua ustaz dan ulama? Tidak sama sekali. Mereka mahu memberikan peringatan kepada umat bahawa golongan ini ada dan umat perlu berhati-hati.

Justeru bagi saya, kita tidak sepatutnya bimbang dengan pembongkaran kewujudan ustaz jahat seperti ini. Sebaliknya untuk mengimbanginya, kita cadangkan pula drama atau filem yang menceritakan kisah ulama rabbani yang ikhlas dalam perjuangan agamanya seperti kisah Ibn Maien yang menjadi miskin kerana menuntut ilmu hadis. Jangan takut berdepan dengan realiti, dan jangan pula menafikannya.

Sekadar melontarkan pandangan peribadi.

Sumber: Dr. Ustaz Rozaimi Ramle

SKIP THIS AD ×