Jenama Wings yang bertahan selama 3 dekad dalam industri hiburan ini adalah satu pencapaian yang tak boleh dipandang enteng. Setelah hampir 10 tahun mereka tidak mengeluarkan album, kini Wings, dengan mengekalkan anggota yang sama akan mengeluarkan sebuah lagi karya seni berjudul, “Menakluk Kosmos”. Uniknya, sebelum ini Wings berada di bawah naungan syarikat label antarabangsa, kini mereka mengorak langkah dengan menggunakan tenaga tempatan melalui syarikat label, KRU Music.
Menceritakan pembabitan KRU Music bersama Wings, Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk KRU Music dapat dilihat sebagai sebuah entiti yang boleh bersaing dengan syarikat antarabangsa.
“Sudah tibanya masa untuk KRU Music duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, setaraf dengan label antarabangsa. Justeru, pemilihan Wings adalah penting kerana kami memerlukan kumpulan artis yang mempunyai pengaruh sendiri.”
Pada masa yang sama, Norman turut menyatakan sistem toleransi antara Wings dan KRU Music dalam penghasilan album terbaru ini.
“Sebagaimana yang anda tahu, Wings sudah mempunyai kelompok peminat yang besar. Jadi, kami berhasrat untuk tidak campur tangan dalam penghasilan genre muzik, mereka lebih memahami selera peminat. Tapi apa yang KRU Music boleh bantu adalah daripada segi teknikal serta pemasaran. Contohnya, promosi untuk album ini akan dibantu dengan penghasilan 2 muzik video untuk single hit mereka.”
Awie, vokalis Wings berkata keputusan untuk bernaung dibawah label KRU Music telah dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor semasa.
“Kita ambil keputusan yang agak lama untuk bernaung di bawah KRU Music. Sebabnya, kita mahu pastikan apa yang kami mampu buat untuk KRU Music, dan apa yang mereka mampu lakukan untuk kami.”