Harian Metro melaporkan keterangan Jimmy Shanley kepada Mahkamah Rendah Syariah bahawa Nursuhaila pernah ditampar oleh ibu mentuanya kerana tidak tahan dengan sikap serta perangai anaknya pada 1 Oktober 2011. Kata Jimmy lagi, pada hari yang sama ibu mentuanya lari dari rumah dan menghubunginya untuk tumpang bermalam di rumah.
“Ibu mentua hubungi saya untuk tumpang bermalam kerana tidak ada tempat lain untuk pergi,” terang Jimmy.
Pada 4 Oktober 2011, ibu mentuanya memaklumkan bahawa Nursuhaila ingin bertemu dengan Jimmy kerana mahu meminta maaf serta meminta penceraian daripadanya.
“Menurut ibu mentua, isteri nak jumpa saya untuk minta cerai dan memujuk ibunya pulang ke rumah. Pada 4 Oktober 2011, isteri datang ke rumah saya meminta maaf dan minta cerai serta tidak mahu kes ini berpanjangan,” katanya lagi.
Jimmy juga memaklumkan bahawa dia pernah bertunang dengan orang lain, namun pertunangan itu putus sebelum dia bertunang dengan Nursuhaila.
Jimmy juga memberitahu tiada benda milik Nursuhaila yang dia ambil dan perlu dipulangkan ketika merujuk khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Nursuhaila kepadanya berbunyi ‘Bagi balik harta benda I dan tinggalkan I’.
“Tidak ada benda dia yang saya ambil kecuali kereta yang ibu bapa dia beri untuk pergi kerja,” katanya.
Perbicaraan bersambung semula 19 Julai 2012.