berita

Perodua Lancar Myvi Baru, Ini Cara Proton Ucap ‘Tahniah’

November 17th, 2017 | by Ai
Kini Trending

Semalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) telah melancarkan model kereta Perodua Myvi edisi terbaru. Dengar kata banyak komen positif daripada orang ramai tentang kereta ini. Ada yang kata model kali ini lebih menarik dan bergaya setanding dengan kereta keluaran antarabangsa.

Perodua menawarkan lima variasi bagi Myvi serba baru ini berkapasiti enjin 1.3 liter hingga 1.5 liter dan merupakan sebuah  kenderaan cekap tenaga (EEV). Kereta ini akan dijual dengan harga sekitar RM 44,300 sehingga RM55,300 seunit dan sudah dibuka untuk tempahan. Namun apa yang lebih menarik perhatian netizen ialah ucapan ‘tahniah’ daripada Proton kepada Perodua. 

Rai kelahiran “adik baru”

Bersempena dengan pelancaran edisi terbaru Myvi ini, syarikat otomobil utama Malaysia iaitu Proton Sdn. Bhd. telah menawarkan promosi terbaru bagi model Iriz. Apa yang lucunya promosi ini bertujuan untuk meraikan dan sebagai tanda tahniah diatas kelahiran “adik baru”.

Memang kaw-kaw promosi yang dilakukan oleh Proton ini apabila dengan setiap pembelian Proton Iriz anda akan memperoleh servis percuma atau RM 5,000 penjimatan. Yang paling kelakar promosi ini juga bermula pada hari yang sama Myvi baru dilancarkan.

Tahniah daripada Sang Juara

Hari ini pula terpampang di muka hadapan surat khabar The Star, Proton sekali lagi mengucapkan tahniah tapi kali ini daripada “Sang Juara”. Dalam gambar tersebut turut menunjukkan kejayaan Proton Iriz dan Suprima S yang baru sahaja merangkul juara keseluruhan Perlumbaan Sepang 1000km. Nampaknya macam ada maksud tersirat daripada gambar tersebut.

Persaingan sihat

Macam-macam teknik pemasaran yang dilakukan oleh syarikat kenderaan di Malaysia untuk menarik perhatian para pengguna. Proton dan Perodua merupakan dua syarikat gergasi otomobil di negara kita dan persaingan sihat di antara mereka ini sebenarnya bagus bagi merancakkkan lagi industri automotif negara.

Sumber: Proton, Perodua, The Star

SKIP THIS AD ×