berita

Review Filem: Lagenda Budak Hostel Menghiburkan!

September 13th, 2013 | by Ai
Filem Tempatan

_MG_8790

Melihat tajuk filem ini pasti ada yang berpendapat ianya adalah sambungan kepada filem adaptasi novel Ahadiat Akashah berjudul Lagenda Budak Setan.

Walaupun tajuknya lebih kurang sama, namun filem terbaru terbitan Metrowealth (MIG) ini menampilkan jalan cerita yang berbeza dan menghiburkan.

Lagenda Budak Hostel mengisahkan tentang Haikal Putra a.k.a Kodan (Along Cham) dan Ahmad Danial a.k.a Put (Along Eyzendy) yang merupakan pelajar tingkatan enam dan senior di sebuah hostel sekolah berasrama penuh.

_MG_0053

Kodan dan Put paling digeruni oleh pelajar-pelajar lain kerana sikap mereka yang suka membuli namun aktiviti nakal mereka tidak pernah dikesan oleh warden asrama iaitu Cikgu Rahim (Rahim R2).

Dalam diam, Put dan Kodan menyimpan perasaan terhadap anak Cikgu Rahim bernama Seroja (Nora Danish). Setiap hari ada sahaja kerenah yang dilakukan oleh Put dan Kodan untuk mencuri tumpuan Seroja.

Namun sikap mereka mula berubah ke arah kebaikan apabila seorang pelajar baru, Jaszle Isaac a.k.a Kicap (Epy Raja Lawak) menasihati mereka supaya menunjukkan kehebatan dengan cara yang betul.

_MG_2587

Dalam masa yang sama, Seroja turut menyatakan yang dirinya menyukai lelaki berperangai baik. Sejak dari itu, Put dan Kodan mula bertanding merebut kerusi ketua pelajar.

Demi membuktikan bahawa mereka layak memenangi hati Seroja, Put dan Kodan sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi undi di kalangan pelajar hingga timbul persengketaan.

Tidak cukup dengan itu, ada sahaja halangan yang mematahkan semangat mereka dalam usaha mendapatkan Seroja.

_MG_1935

Berjayakah Put dan Kodan mendapatkan cinta Seroja? Dan siapa pula yang akan bergelar Ketua Pelajar di sekolah mereka? Segala-galanya akan terjawab bila anda menonton Lagenda Budak Hostel nanti.

Secara peribadi, filem ini memang menghiburkan dan mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak sepanjang tayangan.

Padanan antara Along Cham dan Along Eyzendy sebagai senior pembuli memang tepat kerana mereka dilihat berjaya membawakan watak itu dengan baik sekali.

Malah, adegan bergaduh dan pukul-memukul antara pelajar juga seakan menjadi dan tidak dibuat-buat.

Walaupun begitu, penulis berpendapat aksi-aksi tersebut tidaklah terlalu ganas hingga mampu mempengaruhi fikiran pelajar sekolah untuk membuli dan sebagainya.

Bagi yang ingin menghilangkan tekanan dengan bergelak ketawa, anda bolehlah menonton Lagenda Budak Hostel pada hujung minggu ini di pawagam berhampiran.

Sementara itu, di sini OHBULAN! sertakan trailer filem berkenaan untuk tontonan anda. Semoga terhibur!

SKIP THIS AD ×