berita

Sharifah Sakinah Akui Hampir Putus Asa Selepas Kehilangan Ayah Tersayang

April 17th, 2018 | by Amat
4.7K
reads
Kini Trending

Umum sedia maklum, pada awal tahun Januari 2018 perginya insan tersayang dalam hidup pelakon Sharifah Sakinah iaitu Allahyarham Syed Abu Bakar. Ayah kepada pelakon ini telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan isteri, lima orang anak dan cucu kesayangan.

Bagaimanapun, pelakon Girlfriend Dari Neraka ini berkongsi pengalaman saat kehilangan insan tersayang secara mengejut ketika dia masih sibuk menjalankan penggambaran drama bersiri Bimbi & Bonni.

Ayah pergi ketika Bimbi & Bonni

Saya menutup akaun Instagram selama seminggu selepas pemergian arwah. Kalau ikutkan hati, saya mahu berehat berlakon dan tidak mahu melakukan apa-apa. Saya mahu beramal sebanyak mungkin untuk membantu arwah di alam barzakh. Saya tahu, doa anak boleh membantu orang tua yang sudah menghadap Ilahi.

Arwah ayah kepada pelakon ini meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas tiga hari dirawat di Hospital Ampang. Sakinah mengakui sukar berdepan dengan situasi yang menyedihkan ini. Tambahan pula, dia masih lagi terikat dengan kontrak drama Bimbi & Bonni semasa ayahnya terlantar di hospital.

Ketika itu, saya terikat dengan penggambaran drama Bimbi & Bonni dan arwah ayah sakit selama tiga hari sebelum meninggal dunia.

Tidak mahu jadi bahan bualan

Saya tidak yakin melakonkan watak bimbo dan gedik ketika bersedih. Bagaimana mahu bergelak ketawa sedangkan jiwa bersedih?

Sakinah juga tidak mahu dirinya menjadi bahan umpan keji netizen. Meskipun ada segelintir netizen mengecam bahawa dirinya masih bergedik di lokasi penggambaran sedangkan ayahnya baru meninggal dunia.

Soal berpakaian juga diambil kira. Adab dan segala segi, semuanya saya jaga ketika itu.

Malah, dia juga meminta Michael Ang mencari pelakon lain untuk mengantikan wataknya dalam drama bersiri tersebut. Namun, permintaan Sakinah itu tidak dipersetujui Ang.

Ibu pujuk habiskan penggambaran

Ketika arwah nazak, saya sudah berpesan pada Ang. Jika bapa tidak mampu diselamatkan, saya memintanya mencari pengganti kerana saya tidak boleh bekerja dalam kesedihan. Bagaimanapun, Ang faham dan sanggup menunggu kerana penggambaran drama sudah separuh disiapkan, mana mungkin memulakan penggambaran dari awal.

Bagaimanapun, pelakon ini mendapatkan kata nasihat dari ibu tersayang akan keputusan menghentikan penggambaran tersebut. Namun, dia bersyukur arwah ayah menghembuskan nafas terakhir di hadapan keluarga.

Atas nasihat ibu, saya kembali bekerja selepas seminggu bercuti. Ibu pujuk saya selesaikan penggambaran dulu. Kata ibu, itu amanah dan janji yang dipersetujui sejak awal lagi.

Dia percaya arwah ayah ditempatkan dalam kalangan orang beriman kerana dijemput Ilahi pada hari mulia, Jumaat. Dia juga tidak sangka ramai saudara dan kenalan yang turut hadir ketika hari pengebumian sehingga jalan menjadi sesak.

Credit: BH Online

Most Read Today