Acara muzikal Twin Towers @Live 2013 membuat kemunculan kembali dengan barisan artis yang terkenal bagi memenuhkan kalendar tahunan sempena penganjuran minggu PETRONAS Malaysia Grand Prix. Konsert live ini akan diadakan selama 2 hari di menara kembar Petronas atau lebih dikenali sebagai KLCC mulai 22 – 23 Mac 2013.
Mengambil tempat di malam pembukaan ialah kumpulan K-Pop lelaki, U-KISS dan persembahan solo daripada penyanyi jelita, Demi Lovato. Sementara itu, kumpulan K-Pop wanita, Rainbow yang terdiri daripada 7 ahli Jae Kyung, Go Woo Ri, Cho Hyun Young, Kim Ji Sook, No Eul, Oh Seung Ah, dan Jung Yoon Hye akan membuat persembahan di malam seterusnya.
Demi Lovato yang mencipta kareer melalui 2 album solo, Don’t Forget (2007) dan Here We Go Again (2009), dijangka akan menghiburkan anda dengan lagu-lagu hit seperti Give Your Heart a Break & Skycraper.
Manakala, U-KISS yang ditubuhkan pada tahun 2008 tak asing lagi akan mengegarkan pentas dengan koreografi lagu-lagu hit mereka seperti Believe dan Stop Girl.
Fenomena K-Pop nampaknya menjadi pilihan pihak penganjur apabila Rainbow diberikan kepercayaan untuk membuat persembahan di malam penutup. Nama baru ini pasti tak akan menghampakan anda dengan persembahan bertaraf kelas dunia melalui single seperti A dan Gossip Girl.
Ayuh peminat K-Pop, jom kita penuhkan KLCC pada tarikh berkenaan!