berita

‘Bersama Kamu’ Nyanyian Velvet Tercalon AIM 20

October 25th, 2013 | by Ai
Kini Trending

PC Anugerah Industri Muzik-55

Mungkin ada sebahagian daripada anda yang seakan lupa tentang kewujudan bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat iaitu Velvet Aduk.

Mana tidaknya, sejak program realiti tersebut tamat dan berkahwin dengan Rich Estranged, Velvet menghilangkan diri dari dunia hiburan kerana menumpukan perhatian kepada keluarga yang baru dibinanya.

Namun kemunculan single terbarunya bersama suami telah membuka peluang baru buat Velvet apabila lagu berjudul Bersama Kamu itu turut tercalon dalam Anugerah Industri Muzik 20 (AIM 20).

Sejujurnya saya seakan tak percaya dan sangat teruja apabila lagu ini tercalon kerana ini adalah pencalonan pertama kali buat saya. Saya rasa gembira bila karya ini dihargai.

Bagi saya kekuatan lagu ini adalah dari susunan muziknya dan mungkin juga dari keserasian kami berdua yang membuatkannya lebih istimewa.

Disebabkan itu juga, Velvet telah membuat keputusan untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian dan sudah bersedia untuk membuat kemunculan semula.

PC Anugerah Industri Muzik-57

Saya memang sudah buat keputusan untuk kembali menyanyi. Dulu saya sibuk membesarkan anak-anak di samping menjadi penyampai radio Suria FM di Sabah selama beberapa tahun.

Jadi sekarang bila anak-anak dah besar sikit, bolehlah saya tumpukan perhatian semula dalam bidang nyanyian.

Ditanya sama ada dia ingin mengubah imej seiring dengan kemunculan semulanya, Velvet ternyata mempunyai pendapatnya sendiri.

Saya percaya imej dan personaliti itu penting. Saya tidak kisah untuk mengubah imej saya malah saya juga sedang mencuba untuk mendapatkan bentuk badan yang lebih ideal. Tapi saya juga percaya peminat sekarang lebih bijak menilai bakat dan karya yang baik daripada imej luaran.

Menurut Rich pula, dia langsung tidak keberatan membenarkan Velvet kembali aktif dalam bidang seni kerana sedar isterinya mempunyai bakat tersendiri.

Sebelum saya berkahwin dengan dia, saya tahu dia minat menyanyi. Malah kawan-kawan kami pun selalu tanya bila saya nak buat lagu untuk dia. Jadi saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai.

Selain daripada Bersama Kamu, Rich juga sedang mempersiapkan beberapa buah lagu lagi untuk dimuatkan dalam album terbaru isterinya nanti.

Apapun, jom dengarkan kelunakan suara Velvet dan Rich menerusi lagu di bawah. Semoga terhibur!

SKIP THIS AD ×