
Dulu, album menjadi antara ukuran utama perjalanan seseorang penyanyi. Peminat membeli CD, mengenali susunan lagu dan kadangkala beberapa single daripada album sama boleh hidup selama bertahun-tahun.
Sekarang, satu lagu berdurasi tiga minit boleh meledak di TikTok, masuk playlist dan mencatat jutaan strim sedangkan lagu lain daripada projek sama tidak mendapat perhatian sebesar itu.
Lebih-lebih lagi apabila streaming kini menyumbang 69.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan muzik rakaman global pada 2025, menurut IFPI.
Jadi dalam zaman pendengar boleh memilih satu lagu tanpa perlu mengenali keseluruhan album, masih berbaloi ke penyanyi melabur menghasilkan 10 lagu?
Artikel Berkaitan: Ajai Galak Penyanyi Hasilkan Album, Mahu Pendengar Nikmati ‘Journey’ Sesebuah Karya
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Dominasi AIM 24, Dayang Nurfaizah Rangkul Trofi Album Terbaik & Terima Habuan RM200k
Ini tujuh realiti yang perlu dilihat:
1. Sekarang Orang Boleh Kenal Lagu Tanpa Kenal Albumnya
Streaming telah mengubah cara muzik ditemui. Pendengar tidak semestinya mencari album seseorang penyanyi. Mereka boleh menemui satu lagu melalui playlist, media sosial, OST atau recommendation sebelum mengetahui projek asalnya.
ROSÉ misalnya mempunyai contoh yang cukup menarik. APT. bersama Bruno Mars menjadi single global nombor satu IFPI bagi 2025 dengan 2.06 bilion subscription stream equivalents, sedangkan albumnya rosie berada di kedudukan ke-15 dalam Global Streaming Album Chart.
Ini bukan bermaksud albumnya gagal. Sebaliknya ia memperlihatkan bagaimana dalam era streaming, sebuah lagu boleh mempunyai skala populariti yang jauh lebih besar daripada keseluruhan projek yang mengelilinginya.
2. Bila Satu Lagu Meletup, Perhatian Tak Semestinya Sama Untuk Lagu Lain
Semua lagu dalam album tidak bermula dari garisan yang sama. Apabila satu lagu mula mendapat traction, promosi, playlist, video pendek dan perhatian media biasanya akan semakin tertumpu kepada lagu tersebut.
Billie Eilish memberikan satu lagi gambaran menarik. BIRDS OF A FEATHER menduduki tempat keenam Global Single Chart IFPI 2025, manakala album HIT ME HARD AND SOFT sendiri berada di tempat kelapan Global Album Chart dan keenam Global Streaming Album Chart.
Dalam kes Billie, albumnya sendiri sangat berjaya. Namun pencapaian BIRDS OF A FEATHER menunjukkan bagaimana satu track masih boleh muncul sebagai wajah paling besar daripada sebuah album penuh.
Jadi bagi artis yang mempunyai sumber lebih kecil, persoalannya lebih sukar: jika perhatian pendengar akhirnya tertumpu kepada satu atau dua lagu, berapa banyak lagu patut dihasilkan pada satu masa?
3. 10 Lagu Tetap Memerlukan Pelaburan Yang Besar
Ini mungkin halangan terbesar buat penyanyi tempatan. Ketua juri AIM25, Ajai, mendedahkan kos menghasilkan sebuah lagu kini boleh mencecah sekitar RM15,000 hingga RM20,000, berbanding kira-kira RM3,000 hingga RM4,000 sebelum ini.
Kalau angka kos single itu didarab secara kasar kepada 10 lagu, jumlahnya boleh menjadi sangat besar. Walaupun Ajai sendiri berpandangan struktur harga sepatutnya dinilai semula jika lagu dihasilkan sebagai satu album.
Realiti kos bukan sekadar proses rakaman. Artis turut perlu memikirkan muzik video, visual, pemasaran, kandungan media sosial dan promosi setiap lagu.
Aisha Retno pula mempunyai album kedua yang material dan aset lagunya sudah siap, tetapi memilih menangguhkan pelancarannya kerana mahu album itu mendapat ruang promosi yang sewajarnya di tengah jadualnya yang padat.
Contoh itu menunjukkan satu perkara iaitu siapkan album sahaja tidak cukup, sebaliknya artis juga perlu mempunyai masa dan sumber untuk membuatkan orang sedar album itu wujud.
4. Satu Single Susah Nak Ceritakan Siapa Sebenarnya Artis Itu
Di sinilah album masih mempunyai kekuatan. Ajai sendiri menggalakkan artis tempatan kembali menghasilkan album penuh atau sekurang-kurangnya EP kerana sebuah single sahaja tidak cukup untuk memperlihatkan konsep, repertoir dan perjalanan seseorang pengkarya.
Contohnya, Aina Abdul tidak membina identitinya melalui sebuah lagu sahaja. Album Imaji Deluxe Edition memenangi Rakaman Album Terbaik di AIM24, manakala Belagu II oleh Dayang Nurfaizah dinobatkan sebagai Album Terbaik.
Pengiktirafan seperti ini melihat projek secara lebih besar daripada sekadar ‘lagu mana paling viral’. Sebuah single mungkin menunjukkan seseorang penyanyi boleh menyanyikan balada.
Tetapi sebuah album boleh menunjukkan cara dia memilih genre, membina cerita, menyusun vokal, bereksperimen dan membentuk identitinya sebagai artis. Single memperkenalkan nama. Album membantu menjelaskan siapa artis itu.
5. Album Tak Semestinya Kena Dilepaskan 10 Lagu Sekali Gus
Mungkin masalah sebenar bukan album. Masalahnya ialah kita masih membayangkan album dengan cara lama.
Komposer Julfekar berpandangan album dengan 10 hingga 12 lagu sebenarnya boleh menjadi aset pemasaran jangka panjang, dengan beberapa single dikeluarkan secara berperingkat sehingga menyokong kempen selama dua atau tiga tahun.
Pendekatan sebegini sudah boleh dilihat pada Aina Abdul. Pada 2026, Aina melancarkan Berjauh-an diikuti Sadis, dan kedua-duanya menjadi permulaan kepada album keduanya yang dirancang untuk dilancarkan tahun ini.
Maksudnya, pendengar tidak perlu diperkenalkan kepada 10 lagu pada satu hari. Artis boleh memberi setiap lagu ruang untuk bernafas sebelum semuanya disatukan menjadi sebuah projek lengkap.
6. Viral Boleh Datang Sekejap, Katalog Membina Kerjaya
Bayangkan seseorang menemui artis baharu melalui satu lagu. Apa yang berlaku selepas itu bergantung kepada satu perkara iaitu apa lagi yang boleh didengar?
Spotify melaporkan secara purata, lebih separuh royalti artis datang dari luar negara asal mereka hanya dua tahun selepas debut di platform tersebut. Pada 2025 pula, artis dari lebih 150 negara berjaya menjana sekurang-kurangnya AS$10,000 di Spotify.
Ini menunjukkan sebuah lagu boleh menjadi pintu masuk kepada pendengar dari pasaran yang artis itu mungkin tidak pernah jangkakan. Tetapi selepas pintu terbuka, katalog menjadi penting.
Taylor Swift merupakan contoh ekstrem tentang kuasa katalog dan album. Beliau menjadi artis rakaman global terbesar IFPI bagi 2025, dan kedudukan itu mengambil kira penggunaan keseluruhan katalog artis merentasi streaming, jualan fizikal dan digital.
7. Album Belum Mati, Cara Kita Menggunakannya Yang Berubah
Kalau album benar-benar sudah tidak relevan, kita sepatutnya melihat format itu semakin hilang. Tetapi datanya menunjukkan situasi yang lebih kompleks.
Pada 2025, pendapatan format fizikal global meningkat 8 peratus, manakala pendapatan vinyl meningkat 13.7 peratus untuk tahun ke-19 berturut-turut.
Pada tahun sama, album The Life of a Showgirl oleh Taylor Swift menjadi album global terbesar IFPI. Ia juga mencatat 6.05 juta unit dalam Global Album Sales Chart dan menduduki tempat pertama carta vinyl global.
Ini menunjukkan peminat masih mahukan album, cuma album kini perlu menawarkan lebih daripada koleksi fail audio. Ia boleh menjadi satu ‘era’ lengkap yang merangkumi konsep visual, vinyl, merchandise, konsert, dokumentari, deluxe edition dan kandungan untuk peminat.
Dalam konteks tempatan pula, kemenangan Belagu II oleh Dayang Nurfaizah sebagai Album Terbaik AIM24 menunjukkan format album masih mempunyai nilai artistik dan industri yang tersendiri.
Jadi, Masih Berbaloi Buat Album?
Ya, tetapi mungkin bukan dengan formula lama. Pada zaman streaming, artis tidak semestinya perlu menghasilkan 10 lagu, melancarkan semuanya serentak dan berharap pendengar memberikan perhatian sama rata kepada setiap track.
Strateginya boleh berubah. Single boleh mencipta awareness. Lagu kedua boleh membina momentum. EP boleh memperkenalkan identiti. Album pula mengikat semuanya menjadi sebuah perjalanan.
Kes Aina Abdul menunjukkan artis masih boleh membina album sambil memperkenalkan lagu satu demi satu. Aisha Retno pula membuktikan sebuah album memerlukan ruang promosi yang betul, bukan sekadar siap dirakam. Manakala kejayaan album Dayang Nurfaizah, Billie Eilish dan Taylor Swift menunjukkan album masih boleh mempunyai nilai besar dalam dunia yang dikuasai streaming.
Mungkin persoalan sebenar bukan lagi, ‘masih berbaloi ke buat album?’ Tetapi, ‘Bagaimana nak buat 10 lagu supaya pendengar peduli lebih daripada satu?’.
Kerana algoritma mungkin hanya perlukan satu lagu untuk membuatkan nama seseorang meletup, tetapi untuk membina identiti dan kerjaya yang bertahan lama, seorang artis memerlukan lebih daripada satu lagu viral.






![[VIDEO] ‘Tak Perlu Terlalu Lama’ – Jaja Ishak Nasihat Noorkhiriah Jangan Larut Dengan Kekecewaan](https://asset.ohbulan.com/2026/08/jaja-ishak-noorkhiriah.jpg)

