
Tanggal 27 September 2025, bakal menjadi saksi kepada sebuah malam penuh memori apabila Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90’s menghimpunkan 10 vokalis rock lagenda tanah air di RCDbig Studio, Plaza Alam Sentral.
Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90’s

Konsert epik ini yang dianjurkan oleh 211 Event Empire ini menampilkan barisan penyanyi ikonik yang pernah mendominasi era kegemilangan muzik rock tanah air, lengkap dengan deretan ‘killer songs’ yang kekal segar dalam ingatan para peminat.
Antara nama besar yang akan menyerikan konsert adalah Blank (Gamma), Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success).
Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa ialah persembahan mereka akan diiringi oleh Orkestra Polis Diraja Malaysia (PDRM), menggabungkan elemen rock dengan sentuhan orkestra moden yang pastinya memberikan pengalaman audio yang luar biasa kepada penonton.
Sementara itu, Intan Madura iaitu wakil penganjur dari 211 Event Empire meluahkan rasa syukur kerana urusannya bekerjasama dengan barisan artis dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
Sangat mudah bekerjasama dengan mereka sebab mereka semua ni banyak berpengalaman dalam industri ini. Jadi tidak sukar untuk pihak kami berurusan dengan kesemua artis.
Ditanya tentang pemilihan barisan penyanyi, Cik Intan berkata, salah satu faktornya adalah kerana lagu-lagu nyanyian mereka kembali mendapat perhatian dan tular di platform media sosial, terutamanya TikTok.
Untuk Gen Z, kebanyakan mereka mengetahui lagu sahaja tanpa mengenali siapakah penyanyi asal. Jadi, dengan adanya konsert ini, Gen Z boleh merasai dan mendengar sendiri secara langsung nyanyian mereka.
Bagi yang berminat, tiket telah mula dijual menerusi laman sesawang rasmi www.211eventempire.com dengan harga bermula RM188 (Zon Bronze), RM288 (Silver), RM388 (Gold), RM488 (Platinum), dan RM1888 untuk kategori VIP yang turut menawarkan pelbagai keistimewaan eksklusif.
Bagi peminat yang tidak dapat hadir secara fizikal ke Plaza Alam Sentral, konsert ini turut ditawarkan dalam format penstriman langsung, membolehkan anda menonton dari mana sahaja dengan harga tiket serendah RM20 sahaja.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan legenda rock tanah air kembali bersatu dalam sebuah konsert yang menjanjikan nostalgia, kualiti dan persembahan bertenaga secara langsung atau dalam talian!








