Sepasang suami isteri di Mexico akhirnya berjaya menemui semula anak mereka yang diculik lebih 10 tahun selepas melakukan analisis pengecaman wajah berteknologi tinggi.
Diculik ketika masih bayi
Menerusi laporan Daily Star, kali terakhir Yasir Macias dan Rosalia Lopaz melihat anak mereka, Salvador adalah pada 15 Disember 2005 ketika anaknya baru sahaja dilahirkan.
Kejadian berkenaan berlaku ketika seorang wanita yang menyamar sebagai jururawat di Hospital Wilayah Am IMSS di Guadalajara mengambil Salvador daripada mereka dan memberitahu bahawa bayi berkenaan perlu disusukan kerana waktu melawat sudah tamat.
Setelah itu, wanita berkenaan bertindak meninggalkan hospital dengan membawa bayi tersebut.
Lakukan prosedur analisis wajah
Walau bagaimanapun, selepas 16 tahun terpisah akhirnya pasangan tersebut disatukan semula dengan anak mereka selepas membuat prosedur analisis wajah pada September tahun lalu.
Analisis berkenaan dijalankan oleh Institusi Sains Forensik Jalisco dengan menggunakan gambar Salvador ketika bayi bagi mengenal pasti bagaimana rupanya jika dia sudah besar.
Susulan daripada itu, penyiasat berjaya menemui sorang remaja yang memiliki ciri-ciri yang sama dengan analisis yang dijalankan. Selepas melakukan beberapa ujian am ke atasnya bersama pasangan berkenaan, pihak penganalisis menemui padanan mereka sebanyak 99.99 peratus.
Kini, pihak berkuasa masih melakukan siasatan bagi menjejaki penjenayah berkenaan dan tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung insiden penculikan tersebut.
Sumber : Daily Star