Siapa sangka, kisah legenda Melayu yang cukup dekat dengan jiwa masyarakat masih mampu mencetuskan fenomena selepas dua dekad?

Buktinya, kemunculan semula Puteri Gunung Ledang The Musical pada tahun ini mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 18,000 tiket habis terjual dalam tempoh beberapa jam selepas jualan dibuka.

Kejayaan ini membuktikan bahawa karya seni tempatan masih mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia, khususnya apabila kisah warisan negara dipersembahkan dengan sentuhan kreatif yang mampu menarik perhatian pelbagai generasi.

Pementasan yang mula diperkenalkan pada 2006 itu kembali menemui penonton mulai 31 Oktober 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), sebuah pusat seni persembahan baharu di Sunway City Kuala Lumpur.

JCPAC, pelaburan RM200 juta untuk mengangkat seni dan budaya tempatan

Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE AO

‘Kepulangan’ karya agung ini turut menyerlahkan peranan JCPAC sebagai salah satu usaha penting Sunway Group dalam menyediakan platform yang lebih bermakna buat penggiat seni tempatan.

Dibangunkan menerusi pelaburan bernilai RM200 juta oleh Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE AO, pusat seni persembahan ini secara rasmi dibuka pada 16 Oktober 2026.

JCPAC bukan sekadar tempat untuk pementasan teater, ia turut dilengkapi dengan kemudahan seni bertaraf dunia. Antaranya ialah Grand Theatre yang mampu menampung 1,200 penonton dengan teknologi bunyi imersif dan akustik canggih.

JCPAC juga mempunyai sebuah Studio yang mampu menempatkan 150 penonton untuk persembahan berskala kecil serta karya eksperimental.

Menurut Tan Sri Sir Jeffrey Cheah, bakat seni tempatan memerlukan peluang, kemudahan dan sokongan sewajarnya untuk berkembang serta mendapat pengiktirafan lebih luas.

Beliau percaya bahawa kekayaan dan kepelbagaian budaya Malaysia, termasuk teater Melayu, tarian tradisional, opera Cina dan persembahan klasik India, wajar dipelihara serta diperkenalkan kepada generasi akan datang.

Puteri Gunung Ledang satukan legenda ikonik dengan bakat baharu

Diterbitkan oleh Enfiniti Productions yang diasaskan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina, Puteri Gunung Ledang The Musical mengangkat legenda Melayu tentang cinta, kesetiaan dan pengorbanan ke pentas teater menerusi gabungan muzik, lakonan dan tarian.

Edisi 2026 ini turut menghimpunkan barisan pelakon berpengalaman serta bakat baharu tanah air seperti Aisha Retno, Mila Mohsin, Aqasha, Mimi Fly dan Nadia Aqilah.

Menurut Puan Sri Tiara Jacquelina, kepulangan muzikal tersebut selepas 20 tahun merupakan pengalaman cukup bermakna, apatah lagi melihat sambutan luar biasa daripada penonton yang masih menghargai kisah warisan tempatan.

Beliau turut menyifatkan sokongan pemimpin yang sanggup melabur dalam industri kreatif seperti Tan Sri Sir Jeffrey Cheah sebagai sesuatu yang penting untuk memastikan lebih banyak karya seni anak Malaysia dimartabatkan dan terus berkembang.

Bukan sekadar pentas, tetapi ruang berkarya untuk semua generasi

Selain Puteri Gunung Ledang The Musical, program sulung JCPAC turut menampilkan beberapa produksi lain termasuk The Butterfly Lovers dan Charlie and the Chocolate Factory.

Terletak bersebelahan Sunway University dan Sunway Medical Centre, pusat seni ini turut membawa seni persembahan lebih dekat dengan kehidupan masyarakat, termasuk pelajar, keluarga dan komuniti setempat.

Apa yang lebih penting, usaha seperti ini dapat membuka ruang kepada generasi muda mengenali dunia seni, meneroka bakat dan melihat bidang kreatif sebagai satu laluan kerjaya yang mempunyai masa depan.

Kejayaan Puteri Gunung Ledang The Musical menjadi bukti bahawa karya tempatan mampu menarik perhatian ramai apabila diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya.

Bangunan JCPAC mungkin membawa nama pengasasnya, tetapi pentasnya adalah milik penggiat seni, karya kreatif dan seluruh rakyat Malaysia.