Foto: The College Post
Satu lagi pencapaian membanggakan buat Malaysia apabila dua orang pelajar muda iaitu Jarell Cheong Tze Wen dan Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi bakal melanjutkan pelajaran ke kolej terkemuka di seluruh dunia iaitu Kolej Harvard.
Berita gembira itu diumumkan oleh Kelab Harvard Malaysia menerusi satu kenyataan media. Kedua-dua pelajar ini akan menjadi sebahagian daripada kelas sarjana bagi tahun 2025.
Dua pelajar Malaysia ke Kolej Harvard
Jarell Cheong Tze Wen yang berasal dari Kuala Lumpur telah menamatkan pembelajaran peringkat SPM dengan cemerlang di SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan A-Levels di Sunway College, Petaling Jaya. Sementara, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi anak kelahiran Kuantan, Pahang ini pula adalah pelajar berkelulusan SM Sains Shah Alam, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat A-Levels di Kolej Tuanku Ja’afar. Bukan itu sahaja, Hamdi juga merupakan pemegang biasiswa Bank Negara Kijang.
Wan Nadiah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Thomson Kota Damansara mengakui banyak cara dan jalan yang boleh dilakukan untuk melayakkan diri ke Kolej Harvard.
Jarell dan Hamdi memberi contoh menjadi dua calon berbeza. Selain mempunyai kehebatan dalam bidang akademik, Jarell juga telah mewakili Malaysia dalam bidang tarian, matematik dan catur.
Manakala, Hamdi merupakan seorang pendebat yang juga telah memberikan tuisyen kepada pelajar sekolah menengah. Lebih berfalsafah, membincangkan pandangan dunia dan pendapatnya mengenai isu masa kini.
Namun, mereka berdua sama-sama berkongsi sesuatu iaitu dorongan untuk melakukan sesuatu dan mencapainya walaupun dalam apa jua keadaan mereka.
Berbakat dan berwibawa
Facebook Harvard College Alumni
Di Harvard, Hamdi merancang untuk mengambil jurusan Ekonomi manakala Jarell bakal melanjutkan pembelajarannya dalam bidang Matematik. Sementara itu, Ketua Penyelidikan Khazanah Nasional Berhad dan penemuduga alumni, Nick Khaw menyifatkan Hamdi sebagai seorang anak dan pelajar yang sangat bertanggungjawab kerana sanggup melakukan banyak pekerjaan demi membantu meringankan beban keluarganya.
Tidak kurang juga dengan bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh Jarell sehingga melayakkan dirinya mewakili Malaysia dalam Sukan Sea Dancesport. Bahkah sepanjang pandemik Covid-19, Jarell telah meneruskan minatnya dengan mengajar tarian secara online di Zoom.
Juga bertanding di bawah bendera Malaysia di Olimpik Matematik Pasifik Asia dan bertanding dalam kejohanan catur antarabangsa. Dia juga seorang pelajar yang berbakat, memperoleh semua A* dalam Peperiksaan Antarabangsa Cambridge.
Dalam kesempatan itu, Nick Khaw yakin dengan tawaran ini mampu mengubah kehidupan pelajar Malaysia ini selain mereka dapat memperoleh pengalaman serta menimba ilmu yang lebih luas. Selain itu, Nick Khaw dan Wan Nadiah berharap agar lebih ramai pelajar Malaysia berpeluang dan layak untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Harvard ini.