Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, satu inisiatif bermakna telah berlangsung di sekitar ibu kota apabila FGV Holdings Berhad (FGV) bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan Op Selamat 26 bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Majlis yang berlangsung di perkarangan SOGO Kuala Lumpur ini bukan sahaja tertumpu kepada keselamatan jalan raya, tetapi turut menyemarakkan semangat kebersamaan melalui pelbagai aktiviti menarik.

Gotong-royong bubur lambuk, eratkan hubungan komuniti

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk pelancaran Op Selamat 26, gotong-royong memasak bubur lambuk, pengagihan bubur kepada anggota polis serta orang ramai, selain majlis berbuka puasa bersama anggota trafik dan penyampaian sumbangan Aidilfitri.

Program ini diketuai oleh CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan disertai Mohamad Fadzil Hitam, Ahli Lembaga Pengarah FGV dengan sebanyak 2,000 pek bubur lambuk berjaya diagihkan kepada anggota Polis Trafik yang bertugas serta orang awam.

Sumber: FGV

Lebih menarik, semua juadah ini dimasak menggunakan produk keluaran FGV seperti beras, minyak masak, santan dan bahan keperluan lain, memang ‘air tangan’ penuh kasih sayang!

Sumber: FGV

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan keselamatan jalan raya, terutama ketika musim perayaan di mana ramai yang pulang ke kampung halaman.

Bukan sekadar berbuka, turut hulur bantuan Ramadan

Sumber: FGV

Selain berbuka puasa bersama anggota trafik, majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan Ramadan kepada golongan yang memerlukan.

Seramai 40 penerima terdiri daripada balu, anak yatim dan OKU menerima bantuan wang tunai serta barangan keperluan harian.

Malah, 150 anak-anak warga trafik turut menerima duit raya. Kecil tapi cukup bermakna untuk menceriakan Aidilfitri mereka.

Hargai pengorbanan anggota trafik, terus berbakti walau musim perayaan

Sumber: FGV

Dalam kesibukan orang ramai membuat persiapan pulang ke kampung, anggota polis trafik tetap setia menjalankan tugas demi memastikan perjalanan semua selamat.

Melalui inisiatif di bawah “FGV Seikhlas Hati”, FGV bukan sahaja menyokong usaha keselamatan awam, tetapi juga menghargai jasa mereka yang berkorban masa bersama keluarga.

Semangat Ramadan yang sebenar, berkongsi & prihatin

Apa yang dilakukan ini jelas mencerminkan bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga tentang berkongsi rezeki dan menyantuni komuniti.

Diharapkan usaha seperti ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk terus menyebarkan kebaikan, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.