berita

25 Tahun Berlalu, Pelakon Cilik Filem ‘Titanic’ Masih Terima Royalti Sampai Sekarang

January 13th, 2022 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Pernah terkenal dengan watak ‘budak kecil Ireland’ dalam filem Titanic, pemuda Amerika Syarikat (AS) iaitu Reece Thompson mendedahkan masih meraih pendapatan hasil lakonannya itu, sejak 25 tahun lalu.

Menerusi laporan Mirror UK, Thompson telah melakonkan watak penumpang kelas tiga yang meninggal secara tragis bersama ibu dan kakaknya dalam filem ditayangkan pada 1997 itu.

Babak sedih

Dalam babak berkenaan, Thompson, ibu dan kakaknya antara ramai penumpang lain yang menunggu pintu pagar utama kelas tiga dibuka. Bagaimanapun, keluarga tersebut tidak sempat sampai ke bot penyelamat lalu jatuh ke dalam laut. Walaupun peranan Thompson dalam filem itu sangat kecil, namun babak yang dilakonkan itu agak sedih kerana menggambarkan betapa ramai penumpang Titanic kelas tiga yang maut dalam tragedi itu.

Bercerita mengenai kehidupannya sekarang, Thompson memberitahu dia merupakan pengarah pemasaran digital di Brian Head Resort, kemudahan ski dan luncur salji di Utah. Walaupun tidak begitu mengingati pengalaman ketika menjalani penggambaran filem berkenaan, sumbangannya masih dihargai apabila menerima cek royalti setiap tahun. Kerjaya Thompson sebenarnya bermula sebagai model kanak-kanak apabila menandatangani kontrak dengan ejen bakat selepas memenangi satu pertandingan. Ejen itu memberi ibunya pilihan untuk Thompson sama ada membintangi iklan stesen minyak atau peluang memainkan watak dalam Titanic.

Keputusan ibu tepat

Walaupun iklan adalah pilihan selamat, ibunya memutuskan untuk mengetengahkannya dengan mengambil tawaran berlakon dalam Titanic. Ia keputusan tepat apabila menjadi filem pecah panggung. Kini, dia masih menerima cek royalti filem berkenaan.

Pelik kerana ia tidak pernah terlintas dalam fikiran saya lagi. Ia bukan seperti, ‘Oh, bila saya akan mendapat cek ‘Titanic’ baharu?’ Apabila ia berlaku, ia seperti, ‘Oh, bagus, (ada) tambahan AS$100 (kira-kira RM418). Ada beberapa kali juga berlaku situasi seperti: ‘Oh, wow, itu cek $250 (kira-kira RM1,045). Mudah-mudahan, mereka terus mengingati saya kerana itu bermakna lebih banyak wang untuk saya.

Sumber: Mirror UK

SKIP THIS AD ×