berita

3 Hari Keluarga Call Tak Dapat, Lelaki Warga Emas Ditemui Maut Kereta Jatuh Gaung

August 9th, 2022 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Misteri kehilangan seorang warga emas sejak tiga hari lalu menjadi tanya. Namun begitu, persoalan berkenaan akhirnya terjawab jua apabila lelaki terbabit ditemui maut selepas kereta dipandu olehnya itu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 25, Jalan Kota Tinggi-Mersing, Johor.

Maut jatuh gaung

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, pihak polis telah menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan daripada orang awam yang mengatakan bahawa dia menemui kereta Perodua jenis Myvi berwarna biru dengan nombor pendaftaran WC9129E.

Warga emas terbabit dikenali sebagai Zahari Zakaria dilaporkan hilang oleh anaknya sehari selepas dia bertolak dari rumah di Kemaman, Terengganu ke tempat kerja di Pasir Gudang, Johor. Lelaki berusia 62 tahun itu tidak dapat dihubungi selepas 24 jam dan ahli keluarganya membuat keputusan untuk melaporkan perkara terbabit kepada pihak polis.

Dalam kejadian Ahad lalu itu, mangsa dipercayai hilang kawalan kereta dipandunya dan terbabas di selekoh sebelum jatuh ke dalam gaung dan terbalik.

Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis masih teruskan siasatan

Walau bagaimanapun, pihak polis masih meneruskan siasatan dan menasihatkan agar pemandu jalan raya yang lain lebih peka ketika memandu terutamanya melalui jalan gelap dan berselekoh untuk mengelak kemalangan.

Sebelum ini, ahli keluarga mangsa sudah membuat hebahan untuk meminta orang ramai mengesan bapanya di media sosial kerana bimbang kereta bapanya terbabas. Malah, mereka turut mendakwa sudah menghubungi pihak polis serta hospital, namun tidak menerima sebarang laporan.

3 hari hilang

Sumber : Harian Metro

SKIP THIS AD ×