berita

4 Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari, Antara Inisiatif Yang Sedang Diusahakan Oleh KPT

November 12th, 2021 | by Aimi Raihana Mudzakir
Kini Trending

Setiap orang pasti mempunyai keluarga tersayang. Bila cerita pasal keluarga, paling penting ialah cinta dan kasih antara ahli keluarga. Jadi, korang dah faham belum tentang Keluarga Malaysia yang tengah popular diperkatakan sekarang?

Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merentasi agama, kaum, warna kulit dan sempadan negeri. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut menyahut hasrat murni kerajaan yang dipanggil Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari.

Antara AKM 100 Hari yang perlu dicapai oleh KPT, korang kena tahu ni!

KPT dalam satu kenyataan memberitahu, melalui strategi menyemarakkan semangat #KPTPrihatin, ia dilihat signifikan dengan tiga Prinsip Keluarga Malaysia, iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Untuk pengetahuan korang, KPT telah menggariskan sebanyak empat AKM 100 Hari yang perlu dicapai dalam tempoh seratus hari, iaitu bermula pada 1 September 2021 yang lepas.

Sekarang korang mesti tertanya-tanya, apakah empat AKM 100 Hari yang dimaksudkan oleh KPT tu? Inilah dia..

Pemberian baucar makanan percuma melalui Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia

Sejak pandemik melanda, ada di antara pelajar dan keluarga yang terpaksa menghadapi beban kos sara hidup. Bagi AKM pertama, KPT dengan prihatinnya melaksanakan pemberian baucar makanan percuma melalui Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia kepada pelajar B40 secara bersasar.

Macam mana pemberian baucar makanan percuma ini dibuat?

Ada dua cara yang dibuat oleh pihak KPT. Pertama, baucar digital di lima universiti, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM); Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS); dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Pelajar boleh tebus baucar dengan menggunakan peranti pengimbas QR code.

Manakala, 15 universiti yang lain menggunakan baucar tunai, yang mana wang dimasukkan ke dalam akaun pelajar untuk kegunaan pembelian makanan. Baucar makanan ni boleh ditebus di kafeteria kampus masing-masing.

KPT menganggarkan sebanyak 443,760 baucar makanan dapat disediakan dengan nilai sebanyak RM15.00 bagi setiap baucar. Program yang mula dilaksanakan pada 18 Oktober 2021 ini membabitkan peruntukan sebanyak RM6.6juta ringgit. Dijangkakan kira-kira 88,752 orang pelajar B40 bersasar, yang telah dikenal pasti oleh universiti awam masing-masing, bakal menerima manfaat inisiatif ini.

Pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS

Pengambilan vaksin amat penting dalam menghadapi situasi pandemik yang melanda. Disebabkan itu, pihak KPT melaksanakan AKM kedua, iaitu pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS.

KPT mensasarkan 100 peratus warga IPT (yang terdiri daripada pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik), yang berdaftar dalam MySejahtera dan boleh divaksin menerima vaksinasi lengkap. Oleh itu, dapat la membentuk komuniti kampus yang selamat.

Secara keseluruhannya warga IPT adalah berjumlah seramai 1,276,267 orang.

Pembekalan Ujian Rapid Test Kit (RTK) kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS

Nak pastikan keselamatan warga kampus terpelihara bukan la mudah. Tapi tak mustahil la kalau AKM ketiga, iaitu pembekalan Ujian Rapid Test Kit (RTK) kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS dilaksanakan oleh pihak KPT.

Pembekalan RTK ni melibatkan pelajar sedia ada, pelajar baharu dan juga bagi maksud intervensi kepada pelajar luar kampus yang berulang-alik serta pelajar yang menunjukkan gejala. Jadi, pelajar tak perlu risau nak ke kampus lagi selepas ni.

Sebanyak 1.16 juta unit RTK akan dibekalkan melibatkan kos peruntukan sebanyak RM17.5 juta.

Penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT

Memang sukar untuk dapat pekerjaan, lebih-lebih lagi semasa pandemik ni. Sebab tu kami kagum dengan AKM keempat, iaitu penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT.

Melalui AKM ini, KPT mensasarkan sekurang-kurangnya 13,000 pelajar warganegara Malaysia mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan dalam tempoh tiga bulan, iaitu September hingga November 2021. Bagus betul!

Untuk pengetahuan korang, KPT laksanakan empat inisiatif utama untuk jayakan program GETHIRED@KPT ni, iaitu PENJANA KPT-CAP; Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan; dan Structured Internship Program (SIP) dan Program Keusahawanan.

Nampak? Banyak inisiatif yang dibuat oleh KPT bagi menjayakan AKM 100 Hari. Sesuai betul dengan konsep Keluarga Malaysia. Tanpa mengira bangsa, kita dah macam satu keluarga. Setuju sangat tu!

Bukan warga pendidik dan pelajar IPT je yang kena tahu pasal ni. Korang pun kena la ambil tahu jugak. Setidak-tidaknya, dapat la korang bagitahu tentang AKM 100 Hari yang KPT buat ni. Info yang berguna kot. Sharing is caring!

Untuk info lebih lanjut, korang boleh layari laman web ini (link to be added).

SKIP THIS AD ×