Misteri kehilangan pelakon Jepun, Mizuki Itagaki sejak Januari lalu akhirnya terjawab apabila aktor itu ditemui tidak bernyawa di Tokyo.

Mizuki ditemui meninggal dunia

Berita duka tentang kematian pelakon berusia 24 tahun itu dimaklumkan sendiri oleh keluarganya menerusi kenyataan rasmi di akaun Instagram milik Mizuki pada Khamis.

Kami amat sedih untuk memaklumkan bahawa pelakon Itagaki Mizuki telah meninggal dunia akibat satu insiden yang menyayat hati.

Bagaimanapun, keluarga mendiang tidak mendedahkan secara terperinci punca kematian.

Dalam pada itu, keluarga Mizuki turut mengucapkan penghargaan kepada semua peminat serta individu yang pernah bekerjasama dengan aktor itu sepanjang karier seninya.

Terdahulu, Mizuki telah dilaporkan hilang sejak Januari 2025 dan usaha pencarian telah dijalankan secara menyeluruh oleh pihak polis serta sukarelawan.

Baru-baru ini, keluarganya menerima panggilan daripada pihak polis Tokyo yang mengesahkan mayat Mizuki telah ditemui di kawasan bandar

Lebih memilukan, keluarga mendedahkan bahawa Mizuki sebenarnya berdepan masalah kesihatan mental sejak tahun lalu.

Sekadar info. Mizuki dilahirkan pada Oktober 2000 dan mula mencipta nama dalam industri hiburan sejak kecil. Dia memulakan kerjayanya sebagai ahli kumpulan pop Jepun M!LK ketika berusia hanya 10 tahun, selepas bakatnya dicungkil oleh agensi Stardust Promotion.

Antara karya lakonan paling dikenali ialah menerusi drama popular Ao Haru Ride (live-action), selain membintangi filem-filem seperti Our Secret Diary, Love’s Stoppage Time, dan In-House Marriage Honey.

Sumber: Geo TV