berita

4 Hari Terperangkap Dalam Perigi Sempit, Budak 10 Tahun Pekak & Bisu Berjaya Diselamatkan

June 15th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Seorang budak lelaki berusia 10 tahun berjaya diselamatkan pasukan kecemasan India selepas terjatuh dan terperangkap di dalam sebuah perigi sempit selama lebih empat hari.

Perigi sedalam 24 meter

Foto: MailOnline

Memetik laporan MailOnline, Rahul Sahu yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan berjaya diselamatkan lewat semalam selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter, Jumaat lalu.

Rahul dilaporkan jatuh ke dalam perigi itu ketika bermain di belakang rumahnya di Chhattisgarh, India.

Misi menyelamat itu dilakukan dengan kaedah menggali satu terowong bersebelahan perigi tersebut menggunakan jentera penolak tanah dan kren, yang turut sama disertai tentera dan pasukan agensi tindak balas bencana.

Menurut Ketua Menteri, Bhupesh Baghel, Rahul ditemui dalam keadaan yang baik.

Rahul telah diselamatkan dan berada dalam keadaan baik hasil daripada doa orang ramai dan usaha menyelamat berterusan pasukan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Pentadbiran Daerah Tempatan, Jeetendra Shukla berkata, kanak-kanak itu masih hidup, namun berada dalam keadaan lemah dan telah dikejarkan ke hospital.

Seekor ular dilihat berada dalam lubang yang sama, namun Rahul menunjukkan sikap berani dan kekal tenang ketika operasi menyelamat dilakukan.

Cuaca buruk, ular, kala jengking sukarkan misi

Foto: MailOnline

Menurut pegawai tempatan, cuaca buruk, ular berbisa dan kala jengking yang berada dalam lubang perigi tersebut adalah punca usaha menyelamat itu menjadi sukar.

Ketua Polis Daerah Janjgir, Vijay Agrawal berkata, ketika operasi, sebuah kamera digunakan bagi memantau keadaan kanak-kanak tersebut serta pergerakannya.

Memandangkan dia tidak boleh bercakap atau mendengar, kami berdepan cabaran yang besar.

Sebatang paip oksigen disalurkan kepada Rahul ketika proses menyelamat dilakukan bagi menyalurkan udara segar kepadanya.

Sumber: MailOnline, AFP

SKIP THIS AD ×