berita

4 Sebab Korang Wajib Tonton Filem Pendek Media Prima ‘3 Sekawan’ Pada Hari Malaysia!

September 15th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Menjelang bulan Ogos setiap tahun, semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia pasti terserlah sempena Hari Kemerdekaan. Semangat patriotisme itu kemudian berpanjangan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Bagi mengekalkan momentum tersebut, Media Prima Berhad membawakan filem pendek ‘3 Sekawan’ yang mengisahkan tentang tiga kanak-kanak yang mencari maksud kemerdekaan sebenar.

4 sebab anda perlu tonton ‘3 Sekawan’

Filem pendek ini menceritakan kisah tiga sekawan iaitu Faiz, Ah Chong dan Danish yang bersatu semula di kampung mereka untuk menyambut Hari Kebangsaan.

Setelah melaksanakan rancangan nakal mereka yang menjanjikan kebebasan untuk segala-galanya, keadaan huru-hara melanda kampung mereka, dan mereka perlu mengatur langkah untuk memulihkan keadaan.

1. Inspirasi daripada peristiwa sebenar

Menurut pengarah ‘3 Sekawan’, Izuan Mokhtar, semua peristiwa huru-hara yang dipaparkan dalam filem pendek ini adalah berdasarkan peristiwa benar.

Semasa proses sumbang saran, Izuan menceritakan bahawa salah seorang penulis telah berkongsi pengalaman yang dilaluinya sewaktu dia masih kecil, sama seperti jalan cerita ‘3 sekawan’.

Izuan dan seluruh ahli kumpulan penulis amat tertarik dengan cadangan itu sehinggakan mereka membuat keputusan untuk menggunakan pengalaman penulis tersebut sebagai asas kepada kisah ‘3 Sekawan’.

2. Kampung tulen & haiwan asli

Untuk memperlihatkan realiti yang sebenar, Izuan mendedahkan bahawa syarikat produksi, Zeel Production Sdn Bhd, telah menjalankan penggambaran bagi keseluruhan filem itu di sebuah kampung sebenar di Perlis.

Pemandangan menakjubkan termasuk kemegahan bukit-bukau yang menghijau serta ketenangan tasik mewarnai latar tempat bagi filem ini, dan semua haiwan ternakan yang anda lihat dalam ‘3 Sekawan’ ini adalah haiwan sebenar.

Izuan berkongsi cerita tentang bagaimana beberapa ahli kru ditugaskan untuk ‘mengembala’ lembu, ayam, burung dan angsa yang membuat penampilan khas dalam filem pendek ini.

Apabila tiba masanya untuk memulakan rakaman, haiwan-haiwan tersebut akan dikumpulkan bersama, dilepaskan dan dibiarkan berkeliaran sebelum dikumpulkan semula selepas selesainya sesi penggambaran.

3. Dibintangi barisan pelakon terkenal Malaysia

Selain daripada tiga kanak-kanak comel dan sangat berbakat yang memainkan watak utama iaitu Ummar Shakur sebagai Faiz, Camans Kong sebagai Chong, dan Rudtra a/l Manivanan  sebagai Danush, ‘3 Sekawan’ turut dibintangi barisan pelakon terkenal Malaysia seperti Dato’ Rahim Razali (Sarjan Rahim), Kazar Saisi (Tok Wan), Redza Rosli (Fikri), Sherry Ibrahim (Shiha), Mandy Chong (Mei Ling) dan Sathiya (Muthu).

4. Tonton secara percuma!

Filem pendek ini akan disiarkan bagi tontonan percuma. Anda boleh saksikan ‘3 Sekawan’ pada Hari Malaysia, 16 September, di TV3 pada jam 9 malam, TV9 pada jam 8.15 malam, DIDIKTV KPM pada jam 9.30 pagi dan 8TV pada jam 11.45 malam.

Anda juga boleh menstrimnya dalam talian di tonton!

SKIP THIS AD ×