
Anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida iaitu Cik B berkongsi kejadian kebakaran yang telah meragut nyawa dua abangnya, Muhammad Eddie Zuhdie Mohd Amin dan Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin pada tahun 2013.
Artikel Berkaitan: Datuk Seri Vida Kongsi Kisah Sedih 2 Anak Terkorban Dalam Kebakaran
Kongsi insiden kebakaran
Menurut Cik B, insiden menyayat hati itu berlaku di kediaman milik salah seorang staf ibunya yang terbakar.
Kebakaran yang berlaku secara tiba-tiba itu telah menyebabkan kedua abangnya yang berada dalam rumah tersebut terperangkap dan tidak dapat diselamatkan.
Yang terbakar adalah rumah staf bujang sebenarnya dan rumah mereka masa itu memang bersebelahan rumah mak saya.
Waktu itu, kedua abang saya ada di situ dan lepak bersama staf yang bujang manakala saya dan Kacak tengah bermain di luar.
Tengah-tengah main, saya yang membelakangi rumah staf nampak abu berterbangan dan bila saya pusing belakang saja, tengok-tengok dah terbakar.
Waktu kejadian, semua staf dapat terjun dan ada yang sampai patah kaki tapi kedua abang saya tak dapat diselamatkan.
Ada staf cuba nak lompat bersama tapi abang-abang saya takut nak terjun dan lari masuk ke tandas rumah.
Selepas api dipadam, kedua abang saya ditemui tak bernyawa di bawah singki tandas. Mereka tak terkena api langsung tapi meninggal dunia sebabkan tak cukup oksigen.
Cik B berkongsi perkara tersebut ketika sesi podcast ‘Sembang Seram’ yang dikendalikan pempengaruh dan pelakon, Safwan Nazri.
Dua abang cari Lailatul Qadar
Bercerita lanjut, Cik B memaklumkan kejadian tersebut sangat memberi kesan kepada dirinya dan keluarga kerana berlaku hanya beberapa hari sebelum perayaan Aidilfitri.
Peristiwa itu merupakan peristiwa paling sedih saya pernah hadapi.
Saya ingat lagi kejadian ini berlaku ketika antara 10 malam terakhir Ramadan sebab kedua abang saya, setiap malam akan cari Lailatul Qadar sebelum kebakaran berlaku.
Setiap malam mereka akan berdoa agar bertemu dengan malam lailatulqadar dan memang solat tak tinggal.
Waktu itu mereka berumur 12 dan 11 tahun.
Ketika ditanya mengenai keadaan Vida ketika itu, Cik B memaklumkan bahawa ibunya berdepan dengan tekanan sehingga tidak lalu makan selepas kehilangan dua abangnya itu.
Kalau saya, seorang adik pun sedih apatah lagi seorang mak, kan? Kita kehilangan anak kucing pun sedih.
Selepas kejadian itu, dekat 40 hari mama tak lalu makan, tak keluar rumah. Memang nampak dia ‘depress’.
Sekadar info, dua anak Vida yang merupakan abang kepada Cik B dan Kacak telah terkorban dalam satu insiden kebakaran rumah teres dua tingkat di Meru Hills, Taman Meru, Ipoh pada tahun 2013.
Sumber: TikTok








