berita

5 Fakta Yang Korang Kena Tau Sebelum PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix Menutup Tirai 2018!

January 2nd, 2019 | by Mastura
Shout Out!

Sukan permotoran di Malaysia taklah sepopular bola sepak. Tapi, sejak Hafizh Syarin menjadi pelumba Malaysia pertama yang layak ke MotoGP ianya dah buka mata ramai pihak. Yang paling banyak dapat perhatian mestilah PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix 2018. Sebab dari situlah ramai pelumba yang berbakat besar dilahirkan.

Kalau korang nak tau, perlumbaan PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix 2018 dah melabuhkan tirai untuk tahun 2018. Perlumbaan terakhir telah diadakan di Dataran Bandar Penawar, Johor pada 15-16 Disember 2018 yang lalu.

Jom kita recap sikit apa yang best dalam sukan permotoran sepanjang tahun ni.

1. Pemergian seorang pelumba berbakat besar

Mohd Hafiz Nor Azman (kanan)

Dunia sukan permotoran dua roda negara dikejutkan dengan kehilangan seorang perlumba berbakat besar, Mohd Hafiz Nor Azman, yang terlibat dalam kemalangan pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix 2018 di Dataran Bandar Penawar, Johor.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ yang juga merupakan penuntut di Politeknik Ungku Omar, ketika itu sedang bersaing untuk mengesahkan kedudukannya di tangga ketiga keseluruhan kategori CP150 apabila nasib malang menimpanya.

2. Afif Amran sahkan kejuaraan PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix 2018

Ahmad Afif Amran mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP150 berbaki satu pusingan pada musim 2018. Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ tersebut memungut 200 mata daripada 9 pusingan perlumbaan.

Afif meninggalkan pesaingnya Kasma Daniel Kasmayudin daripada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang memungut 161 mata. Tempat ketiga diraih oleh rakan sepasukan Kasma Daniel, Md Akid Aziz.

3. Kejuaraan Mini Cub Prix KBS cungkil bakat muda

Untuk mencari pelapis muda dalam arena sukan permotoran, Kementerian Belia dan Sukan(KBS) bekerjasama dengan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bagi mencungkil bakat peserta yang lahir pada tahun 2006 (12 tahun) melalui Kejuaraan Mini Cub Prix KBS.

14 peserta dipilih menyertai Kejuaraan Mini Cub Prix Junior KBS dan 10 pelumba terbaik keseluruhan bakal menerima slot automatik ke siri perlumbaan satu pengeluar (OMR) Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia musim 2019.

Setakat ini pelumba cilik Nabil Abdul Rahman mendahului dengan 153 mata dengan diikuti rapat oleh Mohamad Aidil Mohamad Ayub dengan 147 mata.

Mereka berlumba bagi merebut biasiswa penuh yang ditawarkan oleh Mini Cub Prix KBS. Terbaiklah! Kecik-kecik dah handal di litar perlumbaan.

4. Klinik Cub Prix cungkil skill perlumbaan belia

Matlamat utama penganjuran Klinik Cub Prix adalah mendidik belia supaya berlumba dengan betul bukannya secara sewenangnya di jalan raya. Klinik Cub Prix juga nak mencari bakat-bakat terpendam dalam kalangan belia.

Seramai 48 peserta klinik ni dipilih untuk sertai perlumbaan terakhir di Litar Lumba Tangkak. Mereka bakal merebut 6 slot untuk beraksi di litar lumba pada musim baru 2019.

5. Helmi, nama baru yang bakal menyinari sukan permotoran negara

Korang jugak kena bagi perhatian dekat Mohd Helmi Azman yang baru je mengesahkan gelaran juara keseluruhan Underbone 150cc di Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC).

Pada musim baru 2019, Helmi bakal beraksi dalam kategori SuperSports 600cc bersama pasukan pengeluar Musashi Boon Siew Honda Racing pada Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC). Terbaiklah!

PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix terus lahirkan pelapis negara

Memang ramai nama-nama besar yang dicungkil melalui kejuaraan PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix ni. Semoga usaha ni akan berterusan dan Malaysia akan terus bersinar di arena sukan permotoran di peringkat antarabangsa.

Kalau korang nak tau lebih lanjut mengenai PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix, korang boleh ke Facebook rasmi Malaysian Cub Prix. Mana tau korang mungkin ada bakat terpendam di litar permotoran!

The following two tabs change content below.