berita

5 Hantu Pelik, Hodoh Dalam Filem Scary Stories To Tell In The Dark Ini Bikin Jiwa Tak Keruan!

September 17th, 2019 | by Wan
Shout Out!

Cerita seram hebat adaptasi buku karya Alvin Schwartz, Scary Stories To Tell In The Dark akhirnya ke layar perak dan bakal ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 19 September 2019. Kalau korang nak tahu, buku Scary Stories To Tell In The Dark pernah disekat oleh The American Library Association kerana menerima aduan daripada ibu bapa yang menganggap watak urban myth di dalam buku ini terlalu menjengkelkan dan menakutkan!

Apa yang akan terjadi jika kisah urban myth yang sebelum ini hanya menjadi buah mulut dari satu generasi ke generasi jadi kenyataan? Dapatkah kesemua remaja ini menyelamatkan diri dari ‘hantu hodoh’ yang mengganggu kehidupan seharian mereka?

Kutipan tertinggi filem seram

Scary Stories To Tell In The Dark merupakan filem arahan pengarah André Øvredal, manakala Guillermo del Toro pula selaku penerbit yang sebelum ini berjaya menerusi beberapa filem hebat antaranya Crimson Peak, The Shape of Water, dan banyak lagi.

Pada minggu pertama ditayangkan pada 9 Ogos lalu, Scary Stories To Tell In The Dark menjadi antara filem seram dengan kutipan tertinggi apabila berjaya membuat kutipan USD20.8 juta (RM~86.8 juta)! Bukan itu sahaja, kutipan yang dibuat tersebut hanya sedikit sahaja di belakang Fast & Furious: Hobbss & Shaw yang mengutip USD25 (~RM104 juta) juta pada hujung minggu kedua ianya ditayangkan di Amerika Syarikat.

Filem adaptasi buku seram popular di Amerika Syarikat ini ternyata mempunyai pengikut yang tersendiri dan menerima sambutan yang sangat menggalakkan selepas ditayangkan. Tidak hairanlah jika filem seram ini menerima rating yang tinggi dan review menarik daripada pengkritik filem.

Tambahan pula, buku Scary Stories To Tell In The Dark sudah sedekad berada dalam kategori ‘ALA Most Challenged Book’. Malah, buku ini juga berjaya menandingi novel-novel seram dari penulis terkenal, Stephen King termasuklah novel Carrie (ditangga 81) dan Christine (ditangga 95). Fuh seram habis ni!

Cerita makhluk pelik

Scary Stories To Tell In The Dark menceritakan tentang kisah sekumpulan remaja yang dihantui beberapa ‘makhluk’ seram selepas Sarah membuka buku yang telah lama ditinggalkan di dalam sebuah rumah usang milik keluarga Bellows. Tanpa pengetahuan beliau, buku tersebut menyimpan pelbagai kisah seram serta makhluk yang sebelum ini hanya muncul dalam kisah rakyat sahaja.

Buku hasil tulisan Sarah Bellows, yang gambar dirinya dibuang dari semua koleksi gambar keluarga Bellows itu menyimpan seribu satu cerita tentang makhluk seram tersebut. Satu demi satu makhluk seram muncul menghantui kehidupan mereka antaranya Harold, Pale Lady, Red Spot, Big Toe dan Jangly Man. Tengok muka pun dah takut!

Trailer Scary Stories To Tell In The Dark

Amacam trailer filem ini? Seram kan? Jangan lupa saksikan Scary Stories To Tell In The Dark di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 September 2019 nanti. Adakah sekumpulan remaja ini dapat melepaskan diri dari bayangan hantu-hantu pelik, hodoh dan menjengkelkan ini? Apakah kisah sebenar yang tersembunyi di sebalik rumah usang milik keluarga Bellows?

Semuanya bakal terjawab di pawagam 19 September nanti! Jom!

SKIP THIS AD ×