berita

5 Langkah Jauhkan Diri Daripada Jangkitan Covid-19 #KitaJagaKita

November 13th, 2020 | by AnisAffandi
Kesihatan & Hidup Aktif

Foto: The Edge Markets

Situasi pandemik Covid-19 di Malaysia kini semakin membimbangkan dengan bilangan kes jangkitan baru-baru ini meningkat sehingga empat angka. Namun begitu, pihak kerajaan masih bertungkus-lumus memerangi penularan Covid-19 dengan melanjutkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Disember 2020. Dalam situasi yang sukar ini, kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab juga haruslah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan bagi membantu memerangi Covid-19. 

Selain dari mengikut SOP, kita juga boleh mengamalkan langkah-langkah lain untuk jauhkan diri daripada jangkitan Covid-19 ini. 

Ambil tahu tentang simptom Covid-19

Foto: The Jakarta Post

Ambil tahu tentang simptom Covid-19 merupakan salah satu yang bijak kerana jika anda atau ahli keluarga anda mempunyai simptom ini, anda boleh membawa mereka ke hospital terdekat untuk rawatan dengan segera.

Kebanyakan individu yang positif Covid-19 mempunyai simptom seperti demam, batuk, sesak nafas, sakit tekak dan selsema. 

Jaga kebersihan diri

Foto: Healthline

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun ataupun bahan pencuci tangan yang mempunyai kandungan alkohol paling kurang 60%.

Membasuh tangan anda selama 20 saat setiap kali sebelum melakukan sebarang aktiviti seperti memasak, makan dan sebagainya merupakan langkah yang selamat untuk menghindari diri daripada dijangkiti wabak ini.

Elak dari mengunjungi tempat tumpuan ramai

Foto: The Edge Markets

Elak dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan individu yang mempunyai gejala serta pastikan makanan anda sekeluarga bersih dan baik. 

Seeloknya jangan pergi ke tempat tumpuan ramai jika tidak mempunyai hal yang penting yang melibatkan hal seperti kekurangan barang dapur, bekerja atau hal-hal penting yang lain. Elakkan juga daripada berjalan ke luar negeri mahupun luar negara supaya dapat kurangkan risiko jangkitan wabak ini.

Segera lakukan pemeriksaan

Foto: Today Online

Anda harus mendapatkan rawatan yang segera sekiranya diri anda atau orang terdekat anda jatuh sakit atau mempunyai gejala jangkitan pernafasan atau gejala-gejala yang lain. 

Langkah ini dapat mengawal penularan Covid-19 dengan merendahkan risiko jangkitan dengan orang lain di sekeliling anda. Pihak hospital juga boleh mengesan sejarah perjalanan anda dan memberi amaran kepada sesiapa yang pernah anda jumpa 14 hari sebelum.

Utamakan kesihatan

Foto: Healthline

Utamakan kesihatan anda dengan mengamalkan pemakanan yang sihat, kebersihan diri dan melakukan aktiviti yang sihat. Pastikan diri anda dan ahli keluarga anda sentiasa sihat untuk mengurangkan risiko jangkitan wabak ini.

Terdapat pelbagai aktiviti sihat yang boleh dibuat di rumah untuk kekal cergas dan sihat seperti naik turun tangga dan mengemas rumah. Pastikan juga setiap ahli keluarga anda tahu cara penjagaan kebersihan yang betul. Menurut kajian, virus ini boleh hidup pada permukan untuk tempoh berjam-jam malahan sehingga beberapa hari.

Untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 di negara kita ini, kita haruslah bertanggungjawab dalam mengamalkan langkah-langkah ini. Bersatu teguh, bercerai roboh.

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia.

SKIP THIS AD ×