Kemunculan wabak pandemik COVID-19 pastinya merupakan antara peristiwa yang paling tidak dijangkakan terjadi pada tahun 2020. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan selama hampir 3 bulan bagi mengekang wabak penyakit, telah mewujudkan norma baharu kepada masyarakat.
Walaupun wabak pandemik ini masih belum dapat dikawal sepenuhnya, korang kena peduli juga tentang penularan penyakit tidak bermusim yang lain seperti influenza. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut mengeluarkan amaran supaya masyarakat tidak terleka dengan serangan penyakit tidak bermusim ni, kerana tidak diketahui bila penyakit ini boleh menyerang kembali.
Oleh sebab tu, untuk menjadi masyarakat yang bertanggungjawab, apa kata korang check adakah korang mengamalkan 5 norma baharu ni?
1. Amalkan penjarakan fizikal
Penjarakan fizikal merupakan asas kepada langkah mengekang sesuatu penyakit daripada merebak. Kalau korang sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga dengan menjarakkan diri daripada individu “pembawa”, korang tidak akan dijangkiti atau menjadi penyambung rantaian.
Korang kena ingat, amalkan jarak 1 meter dan elakkan bersentuhan kalau tak perlu. Kalau orang hulur tangan nak salam, korang letak tangan kat dada. Diorang mesti faham punya.
2. Patuhi SOP yang ditetapkan KKM
Cara terbaik memutuskan rantaian penyakit adalah dengan mematuhi amalan kebersihan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyeru orang ramai untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di tempat awam dan persekitaran terbuka.
Bukan susah pun SOP yang ditetapkan, korang hanya perlu memakai penutup mulut dan hidung, sentiasa mencuci tangan dengan bersih, menggunakan hand sanitizer dan paling penting jangan keluar ke tempat awam jika korang ada tanda-tanda awal jangkitan penyakit.
3. Elakkan berkumpul di tempat sesak
Tempat yang sesak hanya akan mengakibatkan kurangnya atau tiada penjarakan fizikal. Apabila tiada jarak antara individu maka risiko korang terdedah kepada sesuatu penyakit semakin meningkat.
Elakkan diri daripada ke kawasan yang berisiko jika tiada urusan penting. Bukan anti-sosial tapi supaya korang lebih berwaspada.
4. Lindungi diri dengan suntikan vaksinasi berkala
Penyakit tidak bermusim seperti flu (influenza) adalah sangat mudah merebak, sebab tu korang tidak boleh ambil mudah tentang suntikan vaksinasi untuk membendung penyebaran penyakit ini.
Tanpa vaksinasi flu, risiko korang untuk dijangkiti adalah tinggi kerana tubuh badan korang tidak memiliki antibodi untuk melawan antigen yang dibawa oleh virus flu. Disebabkan virus ni merebak melalui titisan udara atau permukaan yang disentuh oleh individu yang dijangkiti maka tiada siapa yang kebal daripada jangkitan tanpa vaksinasi.
Ini juga sebagai salah satu langkah menyahut seruan daripada WHO supaya masyarakat tidak melupakan masalah kesihatan awam yang lain termasuklah influenza walaupun dunia sedang menghadapi wabak pandemik sedia ada.
Dengan mendapatkan vaksinasi korang telah pun mengurangkan risiko penyebaran flu kepada individu lain. Sebab tu, korang kena lindungi diri korang dan yang tersayang daripada jangkitan flu dengan penjagaan kebersihan yang betul, menjalani gaya hidup sihat, dan yang paling penting, mendapat vaksinasi flu setiap tahun.
5. Tidak leka & ambil mudah penjagaan kesihatan
Masyarakat sering kali alpa dan leka apabila faktor jangkitan sesuatu penyakit seperti influenza dapat dibendung dan faktor penyebabnya dapat dikurangkan.
Malah ia turut diakui oleh agensi-agensi kesihatan antarabangsa sebagai faktor utama yang menyebabkan program-program pencegahan gagal dilaksanakan secara berkesan.
Adakah korang mematuhi kesemua norma baru ni untuk menjadi seorang masyarakat yang bertanggungjawab? Kalau belum, ayuh bertindak segera!
Jadikan Pencegahan Flu Norma Baru Dalam Kehidupan!
Vaksin flu (influenza) bertujuan meningkatkan sistem imun badan terutama bagi golongan berisiko. Suntikan ini adalah secara berkala dengan kekerapan sekali setahun. Vaksin ini bertujuan meningkatkan sistem imun badan terutama bagi golongan berisiko.
Individu yang berisiko ialah kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun, orang tua berusia 65 tahun ke atas, wanita hamil dan pesakit kronik.
Korang tunggu apa lagi? Takkan nak tunggu sakit baru nak dapatkan rawatan, mencegah tu kan lebih baik. Jom dapatkan vaksin flu sekarang! Haa. Kami nak share dengan korang, Immunise4Life telah melancarkan Kempen Ikrar Nasional ‘Making Flu Prevention My New Normal‘ (Menjadikan Pencegahan Flu sebagai Norma Baharu).
Kempen ini bertujuan menggalakan orang ramai untuk berikrar melindungi diri dan orang yang tersayang daripada serangan influenza dengan mendapatkan vaksinasi flu. Untuk sebarang maklumat lanjut tentang kempen ikrar ni korang boleh klik kat SINI.
Tunjukkan rasa kasih sayang korang terhadap ahli keluarga dengan melindungi mereka dengan vaksin flu hari ini. Jom laksanakan IKRAR korang hari ini! Bersama, kita boleh menjadi rakyat Malaysia yang sihat dan bertanggungjawab.