Dulu, seorang penyanyi mungkin cukup dikenali kerana memiliki vokal hebat dan lagu yang kuat. Tetapi dalam era TikTok, Instagram, streaming dan fandom digital, suara sedap sahaja semakin sukar menjadi satu-satunya faktor yang membuat seseorang artis benar-benar menonjol.

Ini bukan bermaksud kemampuan vokal sudah tidak penting. Sebaliknya, peminat hari ini berdepan terlalu banyak pilihan sehingga identiti, personaliti, visual dan cara seseorang artis membawa dirinya turut menentukan sama ada orang sekadar mendengar satu lagu atau mahu terus mengikuti artis tersebut.

Penyanyi Mimi Fly antara contoh paling dekat. Selepas muncul pemenang terbesar AIM25 dengan lima trofi, Mimi sendiri menegaskan mahu menjadi artis yang ‘the one and only‘ dan mempunyai identiti tersendiri, bukannya sekadar mengejar pengiktirafan.

Jadi, kenapa ‘karakter’ semakin penting?

Artikel Berkaitan: Program Realiti Dah Tak Cari Penyanyi Terbaik? Kini Mereka Cari Artis Yang Boleh ‘Dijual’

Artikel Berkaitan: 5 Penyanyi Yang Tak Bergelar Juara, Tetapi Lebih Bersinar

1. Terlalu Ramai Boleh Menyanyi, Tapi Siapa Yang Kita Ingat?

Media sosial menjadikan proses menemui muzik baharu jauh lebih pantas. Laporan TikTok dan Luminate mendapati 84 peratus lagu yang memasuki Billboard Global 200 sepanjang 2024 pernah menjadi viral di TikTok terlebih dahulu. Pada 2025 pula, lapan daripada 10 lagu yang mencapai No.1 Billboard mempunyai detik viral di platform tersebut.

Dalam keadaan begitu, artis bukan sahaja perlu membuat orang berhenti scroll, tetapi perlu mempunyai sesuatu yang mudah dikenali. Ia mungkin melalui fesyen, cara persembahan, konsep muzik, koreografi, gaya bercakap atau keseluruhan persona.

Sebab itu apabila nama seperti Mimi Fly disebut, identitinya kini turut dikaitkan dengan elemen Nusantara, bahasa Melayu, tarian dan visual yang tersendiri. Malah, Mimi pernah menyatakan mahu terus mengetengahkan puisi, kesusasteraan dan jiwa Melayu dalam karyanya.

2. Peminat Mahu Kenal ‘Siapa’ Di Sebalik Lagu

Hubungan artis dan peminat juga sudah berubah. Hari ini, peminat bukan sekadar mendengar lagu kemudian menunggu album seterusnya. Mereka melihat artis melalui TikTok, Instagram, temu bual, vlog, persembahan langsung dan kandungan di belakang tabir.

Sebab itu personaliti boleh menjadi sebahagian daripada tarikan. Peminat mahu tahu bagaimana artis bercakap, berfikir, bergurau dan berkarya, bukan hanya bagaimana mereka menyanyi ketika berada di atas pentas.

3. ‘Authenticity’ Lebih Susah Dipalsukan Daripada Vokal

Dalam era vokal boleh diperbetulkan menggunakan teknologi dan kandungan AI semakin berkembang, rasa authentic menjadi semakin bernilai.

Dalam konteks artis, authenticity boleh datang daripada banyak perkara. Ada artis yang selesa dengan sisi pelik mereka, ada yang membawa budaya sendiri, ada yang terkenal dengan humor tertentu dan ada pula yang membina keseluruhan muzik berdasarkan pengalaman peribadi.

4. Muzik Sekarang Bukan Sekadar Untuk Didengar, Tetapi Untuk ‘Dilihat’

Era MTV pernah menjadikan video muzik penting. Era TikTok dan Reels membawa perkara itu lebih jauh. Hari ini sebuah lagu boleh hidup melalui koreografi, fesyen, visual, meme dan trend.

Contoh tempatan dapat dilihat menerusi fenomena Jodoh Lebaran nyanyian Aisha Retno. Elemen joget dan tarian tradisional daripada lagu itu kemudian mencetuskan kandungan pengguna di media sosial.

Bernama melaporkan satu video sekumpulan penari yang mengikuti trend tersebut memperoleh sekitar 2.3 juta tontonan dan lebih 178,000 tanda suka di TikTok.

Mimi Fly pula bukan sahaja menang kategori muzik di AIM25, tetapi turut membawa pulang Video Muzik Terbaik menerusi Temberang, selain anugerah untuk susunan muzik dan pop elektronik/dance.

Ini menunjukkan bagaimana identiti seorang artis kini boleh dibentuk melalui keseluruhan pengalaman, bukan audio semata-mata.

5. Lagu Viral Belum Tentu Boleh Membina Artis

Menariknya, menjadi viral juga sebenarnya tidak mencukupi. Kajian MIDiA Research terhadap 10,000 pengguna mendapati penemuan lagu menerusi kandungan sosial tidak semestinya berubah menjadi kesetiaan terhadap artis.

Dalam kajian tersebut, hanya 26 peratus pengguna yang mengikuti artis di TikTok selepas menemui mereka kemudian mendengar lebih banyak muzik artis berkenaan.

Maksudnya, sebuah lagu boleh viral selama dua minggu tetapi persoalan lebih besar ialah, adakah orang mahu mengenali artis itu selepas trend tersebut habis?

Di sinilah ‘karakter’ memainkan peranan. Identiti yang jelas memberi peminat sesuatu untuk diikuti selepas sebuah lagu selesai dimainkan. Ia membuatkan artis mempunyai ‘dunia’ sendiri, bukan sekadar satu lagu yang kebetulan meledak di media sosial.

Vokal Hebat Masih Penting, Tapi Itu Baru Permulaan

Kemenangan AIM25 sendiri menunjukkan kemampuan vokal masih dihargai. Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza misalnya membawa pulang anugerah Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita), sementara Aisha Retno memenangi Album Terbaik dan Mimi Fly muncul pemenang terbesar malam tersebut.

Jadi isu sebenarnya bukan generasi sekarang sudah tidak peduli siapa yang boleh menyanyi. Sebaliknya, standard seorang artis sudah menjadi lebih luas.

Suara membuat orang mendengar, tetapi identiti, visual, personaliti dan cerita di sebalik seseorang artis boleh menjadi sebab mereka terus kekal mengikuti.

Dalam industri yang setiap hari melahirkan lagu baharu, mungkin soalan paling penting sekarang bukan lagi sekadar ‘siapa suara paling sedap’, tetapi ‘siapa yang mempunyai sesuatu yang hanya dia boleh bawa?’.

Sumber: Bernama, IFPI, MIDiA