berita

5 Sebab Raya Di Kampung Lagi Best, Meriah & Syok Berbanding Di Bandar!

May 29th, 2019 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Oh, oh, oh Balik Kampung! Oh, oh, oh balik kampung! hati girang! Dengar saja lagu ni, confirm teringat kampung halaman, betul tak? Korang tahun ni, balik kampung atau tak raya nanti? Bestnya kalau sambut raya dekat kampung halaman bersama insan tersayang.

Kali ini kami nak kongsikan 5 sebab raya di kampung lagi fun dan best berbanding di bandar. Korang yang masih berfikir nak balik kampung atau tak, rasanya belum terlambat untuk membuat keputusan dan ubah fikiran korang selepas membaca perkongsian ini.

1. Berkumpul saudara mara

Berkumpul bersama saudara mara semasa hari perayaan merupakan detik yang paling best. Masa ni la korang nak jumpa saudara mara yang tinggal berjauhan. Korang boleh berbual dan berkongsi cerita mengenai kehidupan korang serta mengimbau semula kenangan raya yang pernah korang lalui bersama. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan akan bertambah erat. Kalau korang raya dekat bandar, confirm korang susah nak berjumpa antara satu sama lain, maklumlah sibuk bekerja.

2. Main mercun dan bunga api

Setiap perayaan memang tidak sah kalau tiada mercun mahupun bunga api. Di kampung, suasana main mercun dan bunga api sangatlah meriah kerana korang bebas bermain sampai pukul berapa pun tak kisah. Siap ada perlawanan main mercun bersama jiran-jiran kampung lagi.

Kawasan ruang rumah yang luas, pasti membuatkan keadaan tersebut bertambah meriah. Kanak-kanak boleh berlari dan bermain dengan sesuka hati di kawasan tersebut. Kalau di bandar, korang mungkin perlu memilih kawasan yang sesuai untuk membakar mercun dan bermain bunga api. Di samping itu, korang perlu menjaga ketentraman jiran tetangga.

3. Tolong menolong menyediakan juadah raya

Menyediakan juadah raya merupakan satu aktiviti yang paling fun dan best ketika menjelang hari raya. Masa ni la korang akan kalut dan bertungkus lumus bersama-sama menyediakan juadah raya di hadapan rumah mahupun di dapur. Siap bahagi kumpulan lagi. Mesti ada yang kena kacau dodol, masak lemang, masak rendang dan pelbagai lagi. Kemeriahan masa masak ni la yang akan membuatkan korang teringat untuk balik kampung.

Buat korang yang raya dekat bandar, pasti kemeriahan macam ni korang tak akan dapat. Iyelah, rata-rata yang beraya di bandar mereka akan membuat tempahan makanan daripada katering kerana kesibukan kerja. Kalau masak pun mungkin dalam kuantiti yang sedikit .

4. Ziarah menziarahi

Ziarah menziarahi merupakan aktiviti yang wajib dilakukan ketika musim perayaan. Kalau di kampung, hampir kesemua rumah jiran tidak kira dekat mahupun jauh pasti korang akan singgah. Buat kanak-kanak, detik ziarah menziarahi ni merupakan moment paling best sebab boleh tambah duit raya selain dapat menikmati juadah raya dan kuih raya. Paling penting korang boleh bermaaf-maafan dan mengeratkan ukhwah antara jiran tetangga.

5. Suasana meriah

Kebiasaannya suasana di kampung sangatlah tenang dan nyaman jika dibandingkan dengan keadaan di bandar. Namun, apabila menjelangnya hari perayaan, keadaan suasana di kampung akan bertukar menjadi meriah dan seronok. Ini kerana, semua orang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing.

Kalau korang tak percaya, cuba korang tengok di setiap kawasan rehat mahupun keadaan trafik semasa musim perayaan. Memang ramai yang akan pulang ke kampung halaman. Siap ada yang konvoi beramai-ramai lagi.

Suasana meriah sebegini hanya boleh dilihat setahun dua kali mahupun sekali sahaja dan bukannya setiap hari. Oleh itu, jom pulang ke kampung beraya bersama insan tersayang korang!

SKIP THIS AD ×