berita

7 Tempat Percutian Dalam Malaysia Jadi Pilihan Tahun 2018

December 28th, 2018 | by Shafika
Travelogue

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai keunikan tersendiri. Tidak hairanlah kalau saban tahun pelancong asing sering berkunjung ke sini. Selain dari lokasi menarik, Malaysia juga terkenal dengan kepelbagaian budaya serta warisan yang masih ada.

Sempena pengkahiran tahun 2018, kami kongsikan 7 tempat percutian yang menjadi pilihan rakyat Malaysia sendiri pada tahun 2018.

Cameron Highland

Dengan cuaca yang dingin, serta penuh dengan kehijauan, tidak hairanlah kalau Cameron Highland sering menjadi pilihan pengunjung. Terletak di Pahang, tanah tinggi ini boleh dikatakan paling popular bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia bahkan turut menjadi tumpuan pelancong luar negara untuk melihat keindahan alam semulajadi.

Tanah tinggi ini merupakan pusat peranginan yang sesuai untuk percutian seisi keluarga yang ingin lari dari kesibukan di kota. Tambahan pula pengunjung akan dapat menghirup udara segar di pagi hari. Berjalan kaki sambil melihat keindahan alam semulajadi akan membuatkan pengunjung lupa seketika masalah kerja.

Langkawi

Buat penggemar coklat, barangan fabrik atau periuk belanga, Langkawi pastilah merupakan lokasi wajib anda untuk berkunjung. Terkenal dengan negeri bebas cukai menjadikan harga barangan disini sangat murah berbanding di tempat lain. Selain dari membeli-belah, pengunjung juga sering mengambil peluang untuk mencuba aktiviti menaiki bot dari satu pulau ke pulau yang lain (island’s hopping). Memang rugi kalau aktiviti ini tidak dimasukkan ke dalam itenari percutian anda ke Langkawi.

Antara tarikan lain di Pulau Langkawi adalah himpunan pulau-pulau dan pantainya yang cantik dan memukau. Ia bukan sahaja menjadi lokasi percutian terkenal untuk pelancong tempatan, malah kepada pelancong asing.

Pulau Pinang

Tidak dinafikan, Pulau Pinang sangat terkenal dengan pelbagai pilihan menu makanan. Jadi tidak hairanlah kalau pengunjung memilih ke sini hanya sekadar ‘hunting food’. Setiap kali musim percutian, orang mula bersesak memasuki negeri ini sehingga membuatkan kesesakan jalan raya di sini. Selain terkenal sebagai lokasi syurga makanan, Pulau Pinang juga mempunyai keunikan tersendiri dengan budaya kesenian mereka.

Ramai memilih untuk bergambar di sepanjang lorong bangunan yang dicoretkan lukisan kesenian. Antara tarikan lain, pengunjung dapat membuat aktiviti berbasikal di tengah kota ini sambil melihat sendiri suasana yang ada.  Memang menarik untuk dicuba.

Ipoh, Perak

Negeri Ipoh merupakan ibu kota negara Perak dan juga merupakan kota terbesar keempat di Malaysia. Dengan populasi penduduk berjumlah 637.200 jiwa, bandar raya Ipoh juga pernah diiktiraf sebagai lokasi persaraan ketiga terbaik di dunia oleh sebuah majalah yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2014. Majalah itu turut menyenaraikan Ipoh antara tempat terbaik di dunia.

Terdapat banyak destinasi menarik yang boleh dikunjungi di Ipoh menjadikan kota ini sangat popular dikalangan pelancong terutama bagi penduduk Malaysia.

Melaka

Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Tidak hairanlah kalau sehingga ke hari ini bandar Melaka masih mempunyai perninggalan sejarah yang berharga.

Selain kaya dengan kesan peninggalan sejarah, Melaka juga dipenuhi dengan tarikan moden menjadikan negeri Melaka destinasi sasaran popular pelancong tempatan dan antarabangsa. Melaka juga merupakan destinasi pilihan utama warga Ibu Kota yang mencari tempat percutian singkat.

Sabah

Tidak dapat disangkal lagi, negeri Sabah mempunyai keindahannya tersendiri sehingga menarik pelancong serata dunia. Keindahan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang, berhutan mekar dan dikelilingi Laut Sulu di bahagian timur lautnya menjadikan negeri ini sangat menarik.

Negeri di bawah bayu ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang kebanyakannya dapat mendekatkan anda dengan keindahan dan keunikan alam semulajadi. Pulau-pulau di Sabah juga pernah disenaraikan antara tercantik di Malaysia.

Terengganu

Negeri Terengganu Darul Iman sering menjadi pilihan pelancong yang sukakan pemandangan pulau dan pantai. Apa yang menariknya disini, makanan tradisional mereka yang berasaskan ikan, sotong dan udang. Selepas musih tengkujuh, negeri akan menjadi tumpuan kaki travel untuk bercuti ke sini terutama sekali di bahagian pulau-pulaunya yang cantik di mata dunia.

Antara tempat lain yang sering dikunjungi adalah Taman Tamadun Islam. Pelancong berkunjung ke sini untuk melihat keunikan replika-replika 21 monumen bangunan terkenal di dunia seperti Kota Lama Islam Aleppo, Masjidil Haram dan banyak lagi. Replika yang dibina di sini merupakan saiz kecil dari asal tetapi pada skala yang sama binaan asal.