Bila sebut pasal hari raya, sudah pasti korang akan terkenang raya zaman dahulu berbanding sekarang. Maklumlah, kemeriahan raya zaman dahulu lebih meriah jika dibandingkan dengan sekarang. Lebih-lebih lagi tahun ini, apabila semua masyarakat di Malaysia dinasihatkan duduk di rumah dan tidak dibenarkan merentasi negeri untuk balik kampung.
Kali ini kami mahu kongsikan 8 kenangan raya zaman dulu-dulu yang semua orang rindukan. Rasa macam nak putar kembali masa tersebut. Bestnya!
1. Ziarah banyak rumah & rumah terbuka
Foto: Google
Sejak dari kecil sehinggalah dewasa, setiap kali tibanya Hari Raya sudah pasti mak ayah akan bawa anak-anaknya pergi ziarah rumah sanak saudara, jiran mahupun kenalan. Ini kerana, hari tersebutlah semua orang dapat berkumpul dan bersembang bersama-sama. Selain itu, sewaktu Hari Raya juga ramai individu akan mengadakan rumah terbuka dan menjemput para tetamu menikmati pelbagai juadah yang telah disediakan. Kadang-kadang dalam otak dah fikir nak makan juadah apa setiap rumah. Betul tak?
2. Gotong royong kemas rumah & buat juadah raya
Foto: Google
Kalau balik kampung setiap kali raya, sudah pasti masing-masing sibuk membahagikan tugas siapa yang akan kemas rumah dan siapa yang akan masak. Kalau yang kena kemas rumah, mesti dari pagi sampai berbuka korang akan mengemas. Mana taknya, nak pasang langsir, cuci tingkap dan bersihkan halaman rumah. Manakala yang masak pula, dapur boleh dikatakan tempat untuk korang duduk hampir setiap masa. Apabila tibanya malam raya pula, korang pasti akan teringat momen bakar lemang, anyam ketupat dan kacau dodol di depan rumah sambil anak-anak kecil bermain bunga api. Rindunya!
3. Main mercun
Foto: Google
Bermain bunga api atau mercun antara kenangan paling indah terutama zaman kanak-kanak. Jika berkunjung ke bazar Ramadan, kalau nampak saja bunga api dan mercun tak sah kalau tak minta untuk dibelikan. Siap buat mercun sendiri pun ada sekiranya tak dapat.
Namun begitu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengharamkan perjualan mercun yang membahayakan orang awam. Hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan membakar yang boleh membahayakan keselamatan. Buat korang yang sempat bermain mercun tu, mungkin itulah kenangan yang paling dirindukan.
4. Berbual sampai tengah malam
Foto: Google
Tidur beramai-ramai sudah menjadi satu tradisi sekiranya balik kampung. Tapi sebelum nak tidur tu, korang mesti akan bersembang pelbagai topik sampai tengah malam. Setahun sekali jumpa, mesti korang nak tahu perkembangan masing-masing tidak kiralah soal kerjaya, jodoh, kewangan, isu semasa, hiburan mahupun kenangan raya-raya sebelum ini. Topik yang dibincangkan tu pasti akan berlarutan sehingga semua mengantuk. Ada sesetengah tu siap kena paksa untuk tidur oleh mak ayah sebab esok pagi nak pergi solat raya. Kan!
5. Teruja pakai baju baru & bergambar
Foto: Google
Kalau korang ingat, zaman kanak-kanak dan remaja mesti korang akan mempunyai perasaan tidak sabar nak pakai baju raya. Kalau dah beli baju raya, mesti setiap hari nak cuba baju raya sehinggakan ada mak ayah sanggup sanggup beli saat akhir. Bayangkan beli sebulan awal, 30 hari la cuba baju raya. Ada pula antara kita tak sempat tunggu Hari Raya, dah rasmi dulu. Punyalah terlebih excited! Siapa macam ini baik mengaku cepat!
Lepas tu, korang juga mesti tak sabar nak tengok baju raya sepupu-sepupu korang dan nak ambil gambar bersama. Kalau yang perempuan, sudah pasti penuh gambar dalam telefon tu!
6. Dah pakai lawa-lawa, duit raya jangan lupa!
Foto: Google
Kalau tak pusing satu kampung cari duit raya dengan kawan-kawan memang tak sah bila tibanya musim perayaan. Dah macam buat road tour masuk rumah ke rumah satu kampung demi mencari duit raya dan menghitung siapa dapat paling banyak. Kadang-kadang, kuih yang dihidang pun tak sempat dijamu sebab dalam fikiran korang mesti cepatlah tuan rumah bagi duit raya. Betul tak? Paling best kalau tuan rumah tu bagi duit raya yang paling banyak amaunnya, sudah pasti tahun seterusnya korang akan serbu rumah tersebut terlebih dahulu.
7. Kuih raya buatan ibu
Foto: Google
Meskipun kuih raya mudah dibeli zaman sekarang, kuih buatan ibu juga pasti menjadi kegemaran anak-anak. Lebih-lebih lagi kuih tradisional yang mempunyai pelbagai bentuk dan rasa. Korang yang perempuan, mesti rindu nak berbual-bual dengan ibu sambil buat kuih lepas terawih kan. Sambil buat sambil merasa juga! Anak lelaki pula, korang mesti tunggu kuih siap untuk dimakan. Kadang-kadang belum hari raya dah setengah balang habis.
8. Memori kad raya
Foto: Google
Apabila usia sudah semakin meningkat, memori membaca kad raya pasti terdetik dalam pemikiran korang. Korang mesti rindu nak dapat kad raya daripada kenalan mahupun insan tersayang. Maklumlah, kad raya kan ada pelbagai jenis siap ada bunyi lagu lagi! Paling penting ucapan dan pantun dalam kad tu mesti membuatkan korang tersenyum dan gembira.