Sebanyak 85 peratus tiket Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat telah terjual, dengan hanya 15 peratus tiket masih berbaki menjelang acara yang bakal berlangsung pada 3 Oktober depan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Faizal Tahir Tak Kejar Gelaran Datuk, Mahu Fokus Berkarya

Konsert Suara Rakyat

Penyanyi tersohor itu meluahkan rasa terharu dengan sambutan daripada para peminat. Malah sokongan itu juga sekaligus menyuntik semangat dirinya dan pasukan untuk memberikan persembahan terbaik.

Saya berasa terharu apabila mendapat tahu 85 peratus tiket terjual, tetapi dalam masa yang sama ia membuat saya dan seluruh pasukan lagi bersemangat untuk bagi yang terbaik pada malam itu.

Konsert yang bakal berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil itu turut bakal menyaksikan kemunculan kumpulan nasyid Mirwana sebagai artis undangan.

Gandingan kedua-dua nama itu dijangka menghidupkan kembali nostalgia dalam kalangan peminat.

Dalam perkembangan sama, Bendang Group turut diumumkan sebagai Rakan F&B rasmi bagi konsert berkenaan, selain koleksi merchandise rasmi Suara Rakyat yang kini diperkenalkan kepada peminat.

Antara barangan yang ditawarkan termasuk T-shirt, jersey, keffiyeh, insulated drink bottle, lanyard dan card serta photocards.

Faizal turut menegaskan bahawa Suara Rakyat tidak mahu dijadikan sekadar konsert yang menghimpunkan lagu-lagu popularnya semata-mata.

Sebaliknya, pelantun lagu ‘Gemuruh’ itu mahu penonton merasakan mereka turut menjadi sebahagian daripada perjalanan lebih dua dekad yang diraikan menerusi konsert tersebut.

Sekarang memang sudah masuk fasa yang sangat intense. Lagi dekat dengan 3 Oktober, lagi banyak perkara yang kami perincikan terutama daripada susunan lagu, muzik, visual, stamina, latihan sampailah kepada bagaimana setiap bahagian dalam konsert ini boleh bercerita dengan baik.

Saya tidak mahu ia jadi sekadar malam kita datang, nyanyi lagu-lagu lama dan balik. Saya mahu orang yang hadir rasa mereka sebahagian daripada perjalanan ini sebab lagu-lagu ini pun membesar bersama mereka.

Dalam pada itu, Faizal memberi bayangan bahawa masih terdapat beberapa kejutan yang belum didedahkan kepada umum.

Insya-Allah, masih banyak yang kami belum tunjuk. Yang kami kongsi hari ini baru sebahagian daripada apa yang akan berlaku pada 3 Oktober nanti.

Untuk rekod, lagu seperti Gemuruh antara karya Faizal yang cukup sinonim dengan pelbagai detik penting rakyat Malaysia, termasuk sambutan Merdeka, acara nasional, program sekolah serta pelbagai acara masyarakat.

Karya terbaharunya, Ini Suara Kita, turut bakal menjadi sebahagian daripada naratif yang dibawa menerusi konsert berkenaan.

Faizal Tahir: Suara Rakyat bakal berlangsung pada 3 Oktober 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil dan dianjurkan oleh Faithful.

Tiket yang masih berbaki boleh didapati menerusi ticket2u.com dan laman rasmi Hitman Solutions.