Jika sebelum ini kita dengar kes wanita dipotong kepalanya oleh suami di India. Kini lebih mengejutkan apabila satu lagi kes pembunuhan yang sama berlaku di negara itu. Menerusi laporan The Times Of India, sesorang lelaki telah memenggal kepala isterinya dan membuang kepala tersebut ke dalam terusan di Budameru.
Mangsa, Gopisetti Mani Kranti yang merupakan seorang jururawat telah berkahwin dengan suaminya, Petiti Pradeep Kumar sejak lima tahun yang lalu selepas mendapat restu daripada keluarga. Namun, pasangan ini tinggal berasingan kerana menghadapi masalah rumah tangga.
Leher mangsa dipotong dengan sabit
Sebelum ini, Mani Kranti pernah membuat aduan di balai polis Satyanarayanapuram berkenaan keganasan rumah tangga dan Pradeep telah ditahan namun suspek telah keluar dengan ikat jamin. Kerana sifat dendam, Pradeep menunggu isterinya di luar rumah dan membuat keputusan untuk menyerang mangsa setelah dia pulang dari membeli-belah. Kumar dilaporkan telah memotong leher mangsa dengan sabit sebelum memenggal kepala mangsa.
Insiden tersebut sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di mana suspek cuba untuk melarikan diri namun sempat ditahan oleh polis. Semasa kejadian, seorang konstable yang berada di kawasan tersebut segera menghubungi pihak polis selepas dikatakan ternampak baju Pradeep yang berlumuran darah.
Protes dari keluarga mangsa
Sementara itu, ibu berserta keluarga mangsa telah membuat protes dan mendakwa pihak polis perlu bertanggungjawab atas kematian anak kerana gagal melindungi mangsa walaupun beberapa aduan berkaitan suaminya telah dibuat.
Menurut laporan daripada ANI, Timbalan Pesuruhjaya Polis Vijayawada, CH Vijaya Rao berkata operasi mencari kepala mangsa masih dijalankan.
Operasi mencari kepala mangsa sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa dan nelayan tempatan. Sebuah telefon bimbit dan senjata yang digunakan untuk melakukan jenayah terbabit turut dicari.
Pihak polis telah menahan suspek di bawah IPC Seksyen 302 yang melibatkan kes pembunuhan.