Siasatan mengenai dakwaan terdapat satu perjumpaan serta perhimpunan yang dipercayai membabitkan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang, semalam, sedang disiasat oleh pihak polis.
Menerusi laporan Bernama, pihak polis sudah menerima maklumat mengenai penganjuran perhimpunan yang dilakukan secara tertutup itu. Namun, penyiasatan segala aspek mengenai penganjuran itu masih dilakukan.
Berlangsung secara tertutup
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, setakat ini tiada sebarang laporan diterima olehnya daripada mana-mana pihak namun pihaknya akan mengambil maklum mengenai perkara tersebut.
Setakat ini tiada sebarang laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung perhimpunan itu, bagaimanapun kita sudah memperoleh maklumat mengenai penganjurannya. Ia berlangsung secara tertutup dan kita masih dalam tindakan menyiasat segala aspek yang berkaitan penganjuran perhimpunan itu.
Terdahulu Malaysia Kini, melaporkan bahawa 300 individu terdiri daripada bekas anggota PKM telah menghadiri perhimpunan tersebut. Menurut portal berkenaan, perhimpunan itu dianggap sebagai perjumpaan yang bersejarah sehari sebelum ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.
Memulihkan kebenaran yang diputarbelitkan
Menurut bekas ahli PKM, Tan Yi Yu, perhimpunan tersebut diadakan untuk memulihkan kebenaran yang telah diputarbelitkan dan membetulkan persepsi yang salah terhadap orang ramai mengenai sejarah kita. Perjuangan PKM adalah perang yang antipenjajagan dan antiimperialisme, yang berjuang untuk kemerdekaannegara, demokrasi, kebebasan dan kedamaian.
Perhimpunan ini turut menarik perhatian umum kerana baru-baru ini, timbulnya berita mengenai abu mayat bekas ketua Komunis, Chin Peng yang kembali ke Malaysia. Abu mayat Chin Peng telah dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut di Perak, dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa. Satu majlis peringatan dihadiri seramai 150 individu tuurt diadakan pada hari yang sama.
Sumber: Bernama, Malaysia Kini & Berita Harian