Di usia yang masih kecil, kanak-kanak perlu diberikan kehidupan yang baik berserta dengan pendidikan yang mencukupi. Mereka ini tidak sepatutnya dijadikan ‘korban’ oleh ibu bapa dengan mengerahkan anak kecil ini untuk bekerja hingga lewat malam dan tidak menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.
Perkongsian pengguna Facebook Mohd Najid ini pasti akan membuatkan sesiapa sahaja yang membacanya tersentuh apabila dia dipertemukan dengan seorang kanak-kanak lelaki yang dilihat tidur di atas kaki lima kerana terpaksa ‘berhempas-pulas’ mencari sumber pendapatan untuk keluarganya.
Budak tidur di atas lantai
Jam 11.45 malam, selesai bengkel soalan peperiksaan akhir untuk hari kedua. Semasa melakukan bengkel tadi aku dapati mouse laptop kurang berfungsi. Biasanya baterilah penyebabnya. Oleh itu sebelum balik ke bilik, aku ke 7e di tepi hotel untuk membeli bateri.
Di tepi 7e aku lihat seseorang sedang tidur di atas lantai tanpa beralaskan apa-apa. Disebelahnya selonggok barang kelihatan seperti perfume. Mungkin baru balik dari menjaja barangan. Diperhatikan betul-betul, rupa-rupanya yang tidur itu hanyalah seorang anak kecil dalam lingkungan 11 atau 12 tahun sahaja.
Aku selesaikan urusan membeli bateri. Sebelum keluar, kutanyakan pada jurujual tentang anak itu. Katanya anak itu selalu tidur di situ bila penat. Menjual hingga larut malam. Satu perasaan anih lahir dari nurani ini. Keluar dari 7e aku seluk poket dan mengejutkan anak yang baru nak melelapkan matanya. Aku kira dia berusaha untuk tidur dengan susah, dalam keadaan sejuk lantai mozek tidak beralas dan ditambah dengan hujan yang baru turun. Aku mengejutkan anak itu dan menghulurkan duit padanya.
Bukan minta sedekah
Maaf pak cik, saya tidak minta sedekah. Saya jual barang-barang ini dan perlu habiskan sebelum balik kerumah. Aduh.. sedikit manik jernih seakan mahu keluar. Tak apa dik, ambil lah, pak cik ikhlas. Tak apa pak cik, kalau pak cik nak tolong, belilah minyak wangi ini. Jujurnya anak sekecil ini. Lemah rasanya seluruh badan ini. Aku pun membayar sebotol minyak wangi itu.
Rupa-rupanya tingkah laku aku diperhatikan oleh seseorang yang juga baru keluar dari 7e yang sama. Dia menghampiri aku dan anak itu serta bertanya beberapa soalan. Anak itu tinggal di Chow Kit. Aku pun tidaklah bertanya di mana secara tepatnya. Ayah dan mak sudah berpisah. Ada 4 beradik. Anak itu belajar di sekolah agama tahfiz.
Orang yang baru keluar dari 7e itu pun membayar wang untuk 2 botol minyak wangi. Sebelum dia pergi ditanyakan anak itu, ‘boleh tak pak cik bago sedikit duit untuk belanja sekolah adik?’ Anak itu menggeleng-gelengkan kepala. Aku cuba meyakinkan anak itu tidak mengapa kalau dia ambil duit untuk belanja sekolah sahaja.
Aku seluk poket dan hulurkan pada anak itu. Orang itu pun melakukan perkara yang sama. Didoakan anak itu semoga kami berdua dirahmati Allah. Ya Allah, mulianya hati anak ini. Aku begitu sayu melihat dia. Ya Allah kau mudahkanlah urusan anak ini. Kau jauhkanlah bahaya dan Kau jagalah kesihatannya.
Ayah yang paksa
Sebelum bertolak balik, saya ke 7e untuk beli sedikit barang untuk anak-anak. Semasa membayar, saya minta pekerja 7e hari ni tolong tanyakan nombor telefon mak anak itu. ‘Abang tak tahu ke?’ Tanya pekerja tu. ‘Tahu apa?’ Balas saya. Pekerja tu pun bercerita lah.
Dah lama budak tu tidur di tepi 7e di situ. Bukan sahaja malam, kadang-kadang siang hari pun ada. Mak dan ayah sudah berpisah. Ayahnya memaksa anak itu menjual macam-macam barang seperti perfume sekarang ni. Ayahnya tak bagi balik rumah selagi tak habis barang dijual. Kalau tak habis memang kena tampar dan pukul.
Ya Allah.. besarnya ujianMu buat anak kecil itu. Semoga ada hamba Allah yang tampil membantu dalam apa jua cara.
Sumber: Facebook Mohd Najid