Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Mohd Rafiq Mat Razali, telah dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Tahniah Datuk Rafiq!

Penganugerahan berprestij ini diberikan sempena sambutan ulang tahun ke-76 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, dalam satu majlis yang berlangsung di Seri Negeri, pada Isnin.

Gelaran tersebut sekaligus mengiktiraf kepimpinan cemerlang beliau dalam menerajui Media Prima serta sumbangan besarnya terhadap pembangunan industri media dan komunikasi negara.

Menyertai Media Prima pada 2016 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan syarikat dalam landskap digital melalui pelbagai inisiatif strategik, termasuk pengambilalihan aset digital utama. 

Kepimpinannya menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan digital Media Prima sebagai kumpulan media bersepadu terkemuka di Malaysia.

Dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 1 Oktober 2021, Datuk Rafiq berbekalkan kepakaran dalam transformasi digital, kepimpinan strategik dan pengurusan operasi, terus memacu Media Prima dengan fokus kepada inovasi, kecemerlangan dan daya saing digital.

Selain tanggungjawab korporatnya, beliau aktif menyumbang kepada pembangunan industri. Pada 2024, beliau dilantik sebagai Pengerusi Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF) dan kini sedang berkhidmat untuk penggal kedua sejak Januari lalu. 

Beliau juga berperanan sebagai mentor di Endeavor Malaysia, membimbing usahawan berimpak tinggi agar mampu berkembang ke peringkat global.

Beliau juga merupakan alumni Program Pengurusan Lanjutan (AMP) di Harvard Business School dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Aktuari) dari The Pennsylvania State University.

Penganugerahan ini bukan sahaja mengangkat pencapaian peribadi Datuk Rafiq, tetapi turut menjadi kebanggaan Media Prima sebagai organisasi yang dipacu oleh kepimpinan yang berwawasan dan berdaya saing.