Genap sedekad dalam industri, konsert Al-Kisah Kugiran Masdo 10 Tahun yang berlangsung pada 31 Ogos lalu diraikan dengan penuh hangat berserta alunan muzik pop retro moden yang didendangkan menggegarkan Zepp, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: ‘Harapkan Bulan & Bintang Tapi Yang Kami Dapat Hanyalah Pagar Makan Padi’ – Kugiran Masdo

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kugiran Masdo Respon Penampilan Dilabel ‘Seperti Tak Mandi’ – ‘Terima Kasih Kepada Yang Menegur’

Gamat!

Selain rakyat Malaysia bersorak menyambut kemerdekaan yang ke-68, Masdo juga tidak ketinggalan memberikan memori yang nostalgia pada malam tersebut apabila mempersembahkan 21 lagu termasuk karya yang jarang dipersembahkan seperti Kasih & Sayang.

Vokalisnya, Ali Sariah meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada penyokong kerana tidak henti memberi sokongan sejak daripada awal penubuhan kugiran itu.

Alhamdulillah pejam celik Masdo sudah pun mencecah tahun yang ke-10. Terima kasih buat kalian yang menyokong daripada awal sehingga kini.

Disebabkan sumbangan kalian, Masdo mampu berdiri sehingga hari ini.

Ali menyatakan rasa terharu itu selepas menyajikan lagu Teruna & Dara sebagai pembuka tirai persembahan.

Lebih menarik, konsert itu juga diserikan dengan beberapa kehadiran artis jemputan yang turut menyanyikan lagu Masdo sebagai duet, antaranya penyanyi, Heido Moru yang mendendangkan lagu Pujaanku.

Momen menyentuh hati

Ketika Masdo mendendangkan lagu Ratu Hati hasil gabungan gesekan biola Nisa Addina, para ibu kepada ketiga ahli kumpulan itu membuat kemunculan penghargaan sekali gus menjadikan ia adalah antara momen yang paling menyentuh hati dan bermakna pada malam itu.

Dalam kesempatan itu, pemain gitar kumpulan Kugiran Masdo, Muhammad Aizat Asymawi atau Asmawi mendedahkan ibunya sedang berjuang melawan kanser tahap empat, membuatkan penonton berasa sebak.

Ibu saya merupakan seorang pejuang. Dia melawan kanser tahap empat.

Persembahan diteruskan lagi apabila Noh Salleh membuat penampilan menyanyikan lagu duet Inilah Jalannya sebelum kembali bersama kumpulan Hujan menyampaikan lagu Janji Manis.

Tidak terhenti di situ, Fizan yang juga merupakan ahli kumpulan Bittersweet turut membuat kemunculan memukau penonton dengan lagu Nearly Near You.

Kemuncak persembahan menjadikan konsert lebih gamat apabila penonton menyaksikan Masdo bergabung bersama Hujan menyanyikan lagu hit kumpulan itu, Aku Scandal membuatkan malam itu begitu bermakna dan sukar dilupakan.