Kalau kita imbas balik, zaman sekolah rendah adalah tempoh paling penting untuk anak-anak kuasai asas pembelajaran. Tapi realitinya, masih ramai murid di Malaysia yang bergelut dengan asas 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira.

Dek kerana itu, kerajaan tampil dengan Program Anak Kita, sebuah inisiatif besar yang dilancarkan pada 2024. Antara komponen utama yang jadi tumpuan ialah Program 3M, khas untuk murid sekolah rendah Tahun 2 hingga Tahun 6 yang masih perlukan bimbingan tambahan.

Fokus Untuk Kuasai Asas

Gambar sekadar hiasan – Kredit foto, Bernama.

Menariknya, program ni dilaksanakan di 7 negeri terlebih dahulu merangkumi Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak. Sasaran utama adalah murid yang berada dalam kelas pemulihan khas, atau yang masih belum dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira dengan baik.

Tak dinafikan, kalau asas ni tak kukuh, perjalanan pembelajaran anak-anak pada peringkat seterusnya memang akan jadi lebih mencabar. Jadi pendekatan Program 3M bukan sekadar kelas tambahan, tapi melibatkan kaedah pengajaran lebih tersusun, sokongan guru terlatih dan modul khas.

Usaha Kerajaan & Harapan Ibu Bapa

Bila bercakap tentang pendidikan anak-anak, mesti terlintas juga soal masa depan mereka. Program 3M ni sebenarnya bukan sahaja beri manfaat kepada murid, malah turut legakan hati ibu bapa yang risau dengan perkembangan anak.

Seorang bapa kepada murid sekolah rendah yang ditemui berkata:

“Saya rasa program macam ni sangat baik sebab tak semua murid mampu ikut rentak pembelajaran biasa. Bila ada fokus untuk asas 3M, ia beri peluang yang adil untuk anak-anak belajar tanpa rasa tertinggal. Harapnya lebih ramai murid dapat manfaat.” ujar, Raja Amir.

Kejayaan Awal

Hasil pemantauan juga menunjukkan kesan positif. Menurut laporan rasmi, setakat ini seramai 48,308 murid berjaya menguasai asas 3M selepas mengikuti intervensi khas di bawah Program Anak Kita.

Pencapaian ni jadi bukti jelas bahawa dengan pendekatan berfokus dan bimbingan berterusan, anak-anak yang sebelum ini ketinggalan mampu bangkit dan seiring dengan rakan sebaya mereka.

Masa Depan Lebih Cerah

Program Anak Kita, terutamanya komponen 3M, jelas menunjukkan betapa pentingnya pelaburan dalam pendidikan asas. Bila anak-anak kita dapat kuasai membaca, menulis dan mengira dengan baik, mereka bukan sahaja lebih yakin dalam kelas, tapi juga lebih bersedia untuk masa depan.

Inisiatif sebegini bukan sekadar angka atau laporan rasmi semata-mata, tetapi sebenarnya memberi harapan baru untuk generasi akan datang.