Di Srinagar, India seramai empat orang penduduk sebuah kampung di pedalaman Kashmir telah ditahan oleh pihak polis kerana terlibat dalam satu penipuan semata-mata untuk melepasi sekatan polis di jalan raya. Hal ini berlaku berikutan dengan arahan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh negara tersebut dalam menangani penularan wabak Covid-19.
Apa yang lebih mengejutkan apabila salah seorang daripada mereka sanggup berpura-pura mati dan menaiki ambulans untuk pulang ke rumah.
Berlakon mati
Menerusi laporan Hindustan Times, pada awalnya lelaki berusia 70 tahun yang dikenali dengan nama Hakim Din telah dirawat di salah sebuah hospital di Jammu kerana mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala. Namun malangnya, pada ketika itu lelaki terbabit telah terperangkap di hospital berkenaan berikutan pihak berkuasa India telah mengisytiharkan perintah berkurung dan disebabkan itu dia tidak dapat pulang ke rumahnya.
Tetapi lain pula yang jadinya apabila seorang pemandu ambulans telah memberi cadangan memalsukan kematian kepada Hakim Din untuk melepasi diri mereka daripada sekatan jalan yang dilakukan oleh pihak polis. Hakim Din kemudian bersetuju dengan cadangan tersebut dan dia bersama-sama tiga individu lain telah menaiki ambulans menuju ke Poonch yang terletak dalam sebuah wilayah yang bersempadan dengan Pakistan.
Dikenakan tindakan undang-undang
Tetapi malangnya lakonan mereka akhirnya disedari pihak polis dan ambulans yang dinaiki oleh Hakim Din bersama 3 individu lain telah ditahan di sekatan terakhir.
Menurut Suprintendan Polis, Ramesh Angral berkata kesemua mereka yang terlibat telah memandu lebih daripada 160 kilometer dan mereka berjaya melepasi setiap sekatan jalan yang dilakukan dengan menunjukkan dokumen kematian palsu kepada pihak polis.
Ambulans itu bagaimanapun dihentikan di sekatan terakhir dan polis mendapati lelaki yang diselubungi kain dalam kenderaan itu kelihatan masih hidup.
Difahamkan, lelaki berkenaan telah ditahan dan dikuarantinkan serta kesemua mereka akan dikenakan tindakan undang-undang dengan tuduhan menipu selain melanggar arahan kerajaan.
Sumber: Hindustan Times, Kashmir Times