Meskipun dua ahli asal, Black (dram) dan Eddie (bass), telah mengumumkan pengunduran diri, kumpulan legenda rock tanah air, Wings, mengesahkan bahawa ‘Konsert Ulang Tahun Ke-40 WINGS’ akan diteruskan seperti dijadualkan.

Artikel Berkaitan: Eddie & Black Undur Diri Dari Wings, Tak Terlibat ‘Konsert Wings 40 Tahun Celebration’

Persiapan sudah dijalankan

Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, selaku penganjur dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), Konsert WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi tetap diteruskan sebagai tanda penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni kumpulan yang menjadi ikon muzik rock Malaysia sejak tahun 1985.

Kata Eddy Amir, pihak pengurusan menegaskan bahawa semua persiapan berjalan lancar, dan para peminat boleh menjangkakan pengalaman konsert yang epik serta penuh nostalgia.

Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan, ia adalah satu penghargaan kepada nama Wings yang telah menghiburkan peminat selama empat dekad.

Kami ingin memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik Wings.

Tambahan pula, jualan tiket kini telah mencecah 90%, dan hanya sekitar 10% baki tiket masih tersedia untuk peminat yang belum membuat pembelian.

Dalam masa sama, Eddy Amir, turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Abang Eddie dan Abang Black serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT.

Sekadar info, ‘Konsert Ulang Tahun Ke-40 WINGS’ dijadual berlangsung pada 28 November ini di Idea Live Arena, Damansara.

Pada Rabu, Eddie dan Black membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan mengundurkan diri daripada kumpulan Wings.

Eddie dan Black juga memaklumkan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam ‘Konsert Ulang Tahun Ke-40 WINGS’ dan di Singapura pula pada 24 Disember ini.