Selebriti media sosial dan usahawan, Ryzal Ibrahim terpanggil untuk mengulas mengenai isu segelintir pempengaruh yang didakwa meminta makan percuma daripada restoran dengan alasan mempunyai pengikut yang ramai.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ryzal Ibrahim Selar Netizen Pertikai Beri Anak Makanan Korea – ‘Saya Nak Mencarut Tak Baik..’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Rina Tenang Selepas Tertumpah Air, Didikan Ryzal & Maryam Dipuji Netizen – ‘Bijak Sangat Budak Ini’

Tidak wajar minta free

Ryzal, 33, menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar dan mencemarkan imej golongan pempengaruh yang sepatutnya menjadi contoh baik kepada masyarakat.

Kata Ryzal, dia sendiri berasa segan apabila ada pihak yang mahu menanggung makanannya, apatah lagi jika melibatkan peniaga kecil yang baru berjinak dalam perniagaan.

Saya dan isteri tak pernah buat perkara macam itu walaupun dah dikenali ramai. Tapi bukan bermakna semua benda kena dapat percuma. Kalau nak makan bayarlah, tak salah pun.

Kadang-kadang segan juga bila orang nak bagi percuma. Memang saya pernah dengar ada segelintir yang guna nama influencer untuk minta makan free.

Kalau restoran besar mungkin tak kisah, tapi kalau peniaga kecil, itu tak wajar. Kalau betul nak sokong, sokonglah dengan cara yang betul, beli dan bayar. Tak perlu beritahu siapa kita.

Ryzal berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran cawangan kedua Restoran K Garden yang bertempat di KL East Mall, pada Selasa.

Profesional

Dalam pada itu, Ryzal turut berkongsi pengalaman setiap kali pulang ke Kelantan, dia sering mengunjungi pelbagai kedai makan dan membuat ulasan secara sukarela dan jujur tanpa memperkenalkan diri kepada pemilik premis.

Saya sendiri bila balik Kelantan, saya pergi ke pelbagai kedai , sama ada yang kecil atau yang dah viral. Saya bayar penuh dan buat video untuk konten sendiri. Saya dapat tontonan dan kedai tu pun dapat promosi percuma.

Kadang-kadang ada juga kedai yang belanja sebab menghargai kedatangan saya, tapi itu atas budi mereka sendiri, bukan sebab saya minta. Jangan gunakan nama influencer sebagai tiket untuk buat sesuka hati.

Suami kepada Maryam Younarae itu turut menasihati setiap individu perlu mengamalkan sikap profesional dan tidak menggunakan pengaruh semata-mata untuk mengambil kesempatan.

Kalau seseorang guna nama atau status untuk kepentingan sendiri, itu tak wajar. Profesionalisme kena ada walau siapa pun kita sama ada selebriti, influencer atau usahawan.

Saya sendiri ada restoran. Ramai rakan artis datang makan tanpa tahu ia milik saya dan isteri. Tapi bila mereka tahu pun, saya tetap layan seperti pelanggan lain.