Pelakon veteran Datuk Tarmimi Siregar mencipta satu lagi sejarah dalam kerjayanya apabila menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Reda Jika Allah Mahu Mengambilnya’ – Isteri Ahmad Tarmimi Siregar Meninggal Dunia

Lebih 5 dekad

Ketika ditemui OhBulan!, Tarmimi atau nama sebenarnya Ahmad Tarmimi Siregar Kamarudin Siregar, 75, menzahirkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan yang diberikan selain menghargai jasa mentor serta sokongan keluarganya sepanjang lebih lima dekad bergelar anak seni.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada mentor saya, Dato Rahim Razali, tanpa penglibataannya dengan membabitkan saya dalam filem-filemnya yang tak pernah kosong.

Hanya ada satu filem sahaja saya tak ada selain itu, saya sentiasa ada, terima kasih kepada keluarga, anak-anak dan seluruh yang menyokong dan mendoakan saya di usia 75.

Tarmimi berkata sedemikian ketika ditemui selepas majlis anugerah FFM34 berlangsung.

Mengulas dengan lebih lanjut, dia menyatakan kali terakhir dia menerima anugerah adalah pada tahun 1975 dan anugerah ini merupakan trofi keduanya sepanjang berada dalam industri seni.

Dalam masa yang sama, Tarmimi juga sempat berkongsi didikan dari mentornya, Rahim Razali dalam industri seni.

Dari kampung saya pernah berlakon di pentas dalam pertandingan-pertandigan yang dianjurkan.

Apabila saya sampai di Kuala Lumpur pada tahun 1970, saya bekerja sementara menunggu panggilan kemasukan universiti sehingga mendapat tawaran tetapi saya tidak pergi kerana inginkan universiti lain.

Ketika itu pula saya sudah menjawat jawatan pegawai kebudayaan dan berjinak dalam pementasan besar serta bertemu dengan Dato Rahim Razali.

Pesanan pelapis baru

Pelakon filem Abang itu turut menitipkan pesanan kepada generasi baru dalam bidang seni agar terus menimba ilmu dan tidak pernah berhenti belajar demi memantapkan kualiti karya dalam industri.

Jangan berhenti belajar, saya rasa bangga juga kerana kebanyakan pelakon-pelakon baru mendapat didikan formal dalam bidang lakonan, jadi memang nampak perbezaannya degan zaman saya dahulu.