Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini, penyanyi Azharina Azhar meluahkan harapan agar negeri kelahirannya terus maju dari segi pembangunan fizikal dan kesejahteraan sosial rakyatnya.

Artikel Berkaitan: Azharina Azhar Maafkan Individu Dakwa Daniesh Suffian Sebagai ‘Anak Ikan’ – ‘Yang Penting Suara Dia Sedap’

Artikel Berkaitan: Azharina Azhar & Nana Karia Bergabung Dalam Single ‘Biar Gambar Berbicara’

Inginkan perubahan negeri

Ketika ditemui OhBulan!, Azharina, 40, berharap agar pilihan raya kali ini sebagai masa terbaik untuk memilih pemimpin yang benar-benar berkaliber demi mengubah nasib rakyat.

Sebagai orang Sabah, saya memang mengharapkan perubahan. Saya harap calon yang dipilih nanti benar-benar tahu buat kerja dan dapat memajukan negeri.

Pembangunan bukan sekadar pusat beli-belah atau kemudahan parkir. Saya nak lihat perubahan dari aspek sosial juga.

Pelantun lagu Elegi Sepi itu turut menyurakan kebimbangannya melibatkan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan kegiatan meminta sedekah yang boleh mencalarkan imej negeri di mata orang luar.

Masalah PATI jelas kelihatan di Sabah. Orang di tepi jalan minta sedekah, ketuk tingkap kereta. Ini beri imej yang kurang baik, bukan saja kepada rakyat Sabah tetapi juga kepada pelancong.

Selain itu, isu utiliti seperti air dan elektrik yang berlarutan turut membebankan rakyat.

Azharina berkata demikian ketika ditemui di sidang media pelancaran lagu terbaharunya, Biar Gambar Bicara, bersama Nana Karia pada Isnin di Kuala Lumpur.

Sabah tersenarai tiga negeri termiskin di Malaysia

Dalam masa yang sama, Azharina turut mempersoalkan paradoks ekonomi yang melanda negeri Di Bawah Bayu itu. Dia akui terkilan apabila mengenangkan Sabah yang kaya dengan hasil bumi, namun statistik kemiskinan rakyatnya masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Kami rakyat Sabah sangat bangga dengan negeri dan negara kita. Sebab itu saya berharap pemimpin yang memerintah atau bakal memerintah melihat isu sosial ini sebagai perkara penting. Kita ada banyak sumber.

Tapi kenapa rakyat kita masih termasuk antara tiga negeri termiskin? Ini sepatutnya menjadi titik tengah untuk kita berhenti melihat masalah hanya di permukaan.

Saya hanya mahu melihat perubahan yang baik untuk negeri saya. Tiada niat lain. Saya cuma mahu yang terbaik untuk Sabah.