
Narsistik merujuk kepada sikap seseorang yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga cenderung mengabaikan perasaan serta keperluan orang lain.
Artikel Berkaitan: Public Health Malaysia Kongsi Kalori & Gula Top 5 Makanan Viral – ‘Tak Hairan Angka Obesiti Makin Naik’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Kalau Allah Pun Dia Sanggup Tinggal, Inikan Pula Kamu’ – Fadzilah Kamsah Kongsi Tips Dapat Jodoh
Gemar puji diri sendiri

Individu yang mempunyai sifat narsistik ini gemar memuji diri sendiri secara berlebihan, menganggap diri mereka lebih hebat atau penting daripada orang lain, serta mudah memandang rendah atau meremehkan orang di sekeliling.
Namun, sikap narsistik ini bukan sekadar ciri personaliti semata-mata. Dalam sesetengah kes, ia boleh menjadi petunjuk bahawa seseorang itu mungkin mengalami gangguan mental yang dikenali sebagai Narcissistic Personality Disorder (NPD).
Individu dengan NPD biasanya berfikir dan bertindak berdasarkan keperluan untuk dikagumi, dipuji dan dianggap istimewa.
Pada masa yang sama, mereka kerap menghadapi kesukaran untuk memahami atau menghargai perasaan serta perspektif orang lain, menyebabkan hubungan interpersonal mereka sering menjadi tegang atau tidak seimbang.
Beri impak negatif

Gangguan Narcissistic Personality Disorder (NPD) biasanya bermula sejak awal dewasa dan ianya boleh memberi impak terhadap hubungan sosial, prestasi kerjaya serta kesejahteraan emosi individu itu sendiri.
Walaupun mereka nampak yakin, berpengaruh, dan berjaya, individu dengan NPD ini sebenarnya memiliki keyakinan diri yang rapuh.
Mereka sangat bergantung pada pujian dan pengiktirafan, menyebabkan perasaan sendiri mudah terasa, terguris atau kecewa apabila dikritik atau menghadapi kegagalan.
Dalam hubungan sosial, tingkah laku mereka yang mengeksploitasi orang lain, kurang empati, dan ingin sentiasa dikagumi sering menimbulkan ketegangan serta konflik sekeliling.
Dalam lingkungan kerja pula, mereka mungkin menunjukkan prestasi cemerlang, namun produktiviti dan kerjasama boleh terjejas apabila berhadapan dengan tekanan, persaingan, atau keperluan untuk bekerja dalam pasukan.
Rawatan utama bagi mereka yang mengalami NPD adalah melalui psikoterapi, yang sememangnya khas bagi membantu seseorang dalam mengenali diri sendiri, mengawal emosi dengan lebih baik, dan membina hubungan yang lebih sihat dengan orang lain.
Terapi ini juga bertujuan untuk menyokong mereka mengekalkan kehidupan yang seimbang dan mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.
Salah satu fokus utama psikoterapi ialah membantu seseorang dalam memahami corak pemikiran dan tingkah laku mereka yang cenderung mementingkan diri sendiri.
Ramai pesakit NPD tidak sedar bahawa tindakan dan sikap mereka boleh memberi kesan negatif kepada orang sekeliling.
Dengan bimbingan profesional, mereka boleh mengenal pasti tabiat yang berlebihan dan mempelajari cara mengubahnya supaya hubungan, kerjaya, dan kesejahteraan diri sendiri lebih stabil dan positif.
Sumber: Jiwa Damai






![[VIDEO] Penghuni Syurga Boleh Bantu Penghuni Neraka? Ini Penjelasan Ustaz Adnin](https://asset.ohbulan.com/2026/08/adnin.jpg)

