
Pelakon yang sering dikenali menerusi watak gangster, Daddy Rock telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Selasa.
Artikel Berkaitan: Suami Zizie Izette Meninggal Dunia Pada Usia 66 Tahun
Daddy Rock meninggal dunia

Berita pemergian Daddy Rock atau nama sebenarnya Shahrul Azman Mohd Shahril, 51, disahkan oleh anak tirinya, Haqimi Azim Rosli menerusi hantaran di Instagram Story.
Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa papa saya telah meninggal dunia pagi tadi. Pemergiannya sangat mengejutkan dan berat untuk kami sekeluarga terima, tetapi kami reda dengan ketentuan Allah.
Menurut Haqimi, keluarganya ketika ini melalui detik sukar dan meminta orang ramai mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Saya mohon jasa baik semua untuk mendoakan arwah papa. Semoga Allah mengampunkan dosanya, menerima segala amal dan memberikan tempat yang indah buatnya di sisi-Nya.
Doakan juga agar kami diberi ketabahan dan kekuatan melalui saat sukar ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Lagong, Sungai Buloh, selepas waktu Zohor.
Sabtu lalu, pengarah Hashim Rejab memaklumkan Daddy Rock ditempatkan di zon kritikal Hospital Selayang dan ditidurkan selepas kedua-dua kakinya tidak lagi berfungsi dipercayai akibat darah beku.
Pada Oktober 2021, pelakon tersebut pernah menjalani prosedur memasukkan sten di sebuah pusat perubatan di Bukit Rimau, Shah Alam, bagi mengembangkan saluran darah tersumbat dan membantu memulihkan fungsi jantungnya.
Sumber: Instagram







