
Pelakon, Kim Azim menzahirkan rasa kegembiraannya selepas dipilih memegang watak bekas jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek, dalam filem terbaharu bertajuk ‘Sentuhan Wira’.
Artikel Berkaitan: Viral Foto Bersama Rashid Sidek, Ella Respon Gosip Bercinta Tahun 1990-an – ‘I Tunggu Husband, Dia Masih Sekolah’
Artikel Berkaitan: Farid Kamil Kembali Bermain Badminton Selepas 30 Tahun, Teruja Bawa Watak Rashid Sidek
Pencapaian peribadi

Ketika ditemui OhBulan!, Kim atau nama penuhnya Nik Muhammad Azzimuddin Sulusna, 24, menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghargaan buat dirinya.
Bagi Kim, watak itu membawa nilai peribadi yang cukup besar memandangkan ia berkait rapat dengan lembaran sejarah cemerlang sukan negara.
Katanya, projek ini bukan sekadar filem, tetapi satu cara untuk memperingati detik bersejarah skuad negara menjuarai Piala Thomas pada 1992.
Ini adalah satu pencapaian peribadi buat saya serta memori besar untuk negara.
Saya berpeluang menyelami perjalanan hidup Datuk Rashid Sidek dan menghidupkan kembali detik bersejarah kemenangan Piala Thomas 1992 milik Malaysia.
Dalam setiap babak dan setiap detik, saya akan mencurahkan sepenuh jiwa untuk menghormati kisah ini, para wira, serta rasa bangga kepada negara.
Tidak sangka Rashid Sidek sebagai juri

Berkongsi lebih lanjut, Kim mendedahkan pada mulanya dia disenarai pendek untuk memegang untuk watak lain sebelum diberitahu akan menggalas watak Rashid sendiri.
Saya anggap semua ini rezeki apabila dimaklumkan karakter yang akan saya galas nanti adalah watak Rashid sendiri.
Sudah tentu gembira dan gementar bercampur baur kerana ini cabaran besar.
Walaupun pernah aktif dalam sukan badminton, saya perlu gandakan latihan sebelum masuk set penggambaran yang dijadualkan sekitar awal tahun depan.
Latar belakang Kim yang pernah aktif dalam sukan badminton sejak zaman sekolah menjadikan pengalaman ini lebih dekat di hatinya. Bagaimanapun, dia menyedari persiapan rapi tetap diperlukan sebelum melangkah ke set penggambaran.
Melihat idola di depan mata, bertemu dan bersalam dengan beliau, tiba-tiba saya menggeletar kerana terlalu teruja.
Memang tak sangka dapat jumpa tokoh sukan yang menjulang Piala Thomas.
Ketika zaman sekolah sehingga kolej saya aktif dalam sukan badminton malah dapat mewakili pusat pengajian ke peringkat negeri.
Apabila dapat bertemu Rashid Sidek, seterusnya menggalas wataknya, ini adalah impian yang tertunai.
Filem terbitan Victory Pictures itu mengetengahkan detik bersejarah negara dalam menjuarai Piala Thomas 1991 termasuk sumbangan dua lagenda badminton tanah air, Rashid dan Soon Kit yang menjadi simbol kejayaan era tersebut.






![[VIDEO] Ramai Minta QR, Budak 46 Enggan Terima Sumbangan Wang – ‘Selagi Masih Boleh Buat Affiliate, Saya Akan Lakukan’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/befunky_2026-7-2_10-30-56.jpg)

