Seorang ibu dari Lauderdale Lakes, Florida mendedahkan telah kehilangan dua orang anaknya dalam tempoh masa 11 hari akibat dipercayai positif Covid-19. Menurut si ibu yang hanya dikenali sebagai Monete Hicks, anak lelakinya meninggal dunia pada 27 Jun manakala anak perempuannya pada 8 Julai lepas.
Anak perempuan sah positif
Menurut Hick, anak lelakinya Byron, adalah orang pertama yang mengalami masalah untuk bernafas sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal. Tujuh hari selepas meratapi pemergian anak lelakinya, anak perempuannya Mychaela pula telah disahkan positif virus tersebut.
Mychaela yang sanggup melawan penyakit tersebut terpaksa dimasukkan ke hospital kerana demam dan sakit kepala yang berterusan. Dia yang kehilangan kedua-dua buah pinggangnya ketika berada di hospital juga diberi sokongan oksigen sebelum disahkan meninggal dunia.
Kedua-dua anaknya itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan yang kronik iaitu obesiti. Masalah asma antara penyakit yang disenaraikan sebagai penyebab kematian Byron manakala Mychaela pula berpunca dari kegemukan, asma dan penyakit paru-paru kronik.
Kes semakin meningkat
Menurut laporan Daily Mail, di Florida, kes positif covid telah meningkat daripada 25 % pada awal Jun kepada 31% yang melibatkan golongan muda berumur 15 hingga 34 tahun dan kes-kes wabak ini meningkat pesat dalam kalangan ini gara-gara mereka sering berpusu-pusu ke kelab malam, kedai dan restoran ketika dibuka semula.
Secara keseluruhan, seramai 5,317 orang telah mati akibat Covid-19 sejak 1 Mac dan lebih kurang 370,000 orang disahkan positif wabak tersebut.
Sumber : Daily Mail